top of page

Jamawi komited bantu komuniti Melalap

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

28 Disember 2025


TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan komitmennya untuk membantu komuniti luar bandar khususnya di DUN Melalap.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, keutamaannya adalah mengangkat martabat dan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil serta nelayan yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan B40.


Jamawi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi di kawasan melalap yang memberikan kepercayaan kepada saya sebagai wakil rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

ree

“Sekarang adalah masa untuk bekerja kepada semua rakyat di kawasan Tenom dan Melalap. Jadi, tidak ada isu lagi, siapa sokong siapa, siapa undi siapa, sekarang adalah masa kerja untuk membantu rakyat keseluruhannya,” kata Jamawi.


Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dan juga Ahli Parlimen Tenom yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin.


“Banyak lagi program-program, terutamanya di kawasan pedalaman, di Tenom dan di Kemabong. Kita akan bergerak secara selari supaya kita dapat usahakan yang terbaik untuk kawasan kita, begitu juga untuk negeri kita”, kata Jamawi.


“Hari ini kita merayakan Natal bersama-sama tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan… Saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan akan menyuarakan semua keperluan DUN Melalap di Dewan Undangan,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Natal DUN Melalap 2025 di Dewan Datuk Sanggau Jalang, di sini, hari ini.


Menurutnya, sebelum memegang jawatan lagi beliau telah mengumumkan pendekatan untuk memperkasakan inisiatif konsep Kebun Dapur sebagai wadah menyentuh kehidupan seramai mungkin masyarakat.


“Saya ingin membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada orang kampung kita untuk terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan rumah sendiri dengan kos yang rendah…Insya-Allah, kita akan lancarkan awal tahun depan,” katanya.


“Saya lihat banyak perkara yang akan kita cuba usahakan membantu rakyat kita membawa lebih banyak peruntukan dan juga membawa lebih banyak kemajuan berkenaan dengan pertanian, berkenaan dengan ekonomi untuk anak-anak muda dan berhubung dengan keperluan-keperluan jalan-jalan pertanian.


“Mudah-mudahan, walaupun tahun depan peruntukan tidaklah sebanyak yang mungkin, kita mengharapkan supaya proses pengembalian 40% cukai kepada Sabah yang sedang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan akan dapat membantu lebih ramai, petani, penternak, pelayan dan juga pengusaha-pengusaha industri makanan supaya dapat kita usahakan dengan cara yang lebih baik,” kata Jamawi.


Mengulas semangat perayaan, beliau berkata, Krismas membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang sangat dekat di hati rakyat Sabah yang berbilang budaya dan kepercayaan.


“Majlis seperti ini bukan sekadar perayaan, tetapi ruang untuk kita saling mengenali dengan lebih dekat, mengukuhkan hubungan dan menghargai perbezaan sebagai satu kekuatan bersama,” katanya.


Beliau berharap menjelang 2026, semangat persahabatan akan terus diperkukuh bagi memastikan perancangan dan agenda kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Jamawi bersama isteri Datin Zainatunnisa Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Natal 2025 dan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat DUN Melalap.


Turut hadir, ADO Daerah Kecil Kemabong, Zakaria Jamal; Ketua Daerah Tenom, OKK Tusib Tulas serta Ahli-ahli Majlis Daerah Tenom dan pemimpin setempat DUN Melalap.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page