UPKO akan terus perjuang aspirasi masyarakat Lundayeh inginkan kawasan DUN - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO akan terus perjuang aspirasi masyarakat Lundayeh inginkan kawasan DUN - Ewon


Ewon dan Donald bergambar bersama para pemimpin dan perwakilan UPKO Bahagian Sipitang selepas mesyuarat itu.

18 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


SIPITANG: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan parti itu akan terus memperjuangkan aspirasi masyarakat Lundayeh untuk mempunyai satu kawasan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).


Menurut beliau, parti UPKO konsisten mengambil bahagian dalam syor-syor persempadanan semula pilihanraya dengan mengemukakan cadangan-cadangan kawasan baharu Parlimen dan DUN di Sabah.


“Saya telah melihat dokumentasi dan syor parti UPKO kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dan antara yang dicadangkan oleh parti ialah sebuah kawasan DUN baharu di Parlimen Sipitang yang dinamakan DUN Long Pasia. Cadangan ini mengambilkira aspirasi masyarakat Lundayeh dan ahli-ahli parti di kawasan ini selama ini.


“Saya berpendapat jika DUN Pintasan boleh diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Iranun, DUN Bengkoka diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Rungus, maka saya tidak nampak sebab kenapa DUN Long Pasia atau apa juga namanya diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Lundayeh. Selagi saya berada dalam kepimpinan UPKO, maka parti ini akan memperjuangkan aspirasi ini,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Sipitang di Pusat Kebudayaan Lundayeh di sini, hari ini.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Menurut Ewon, kajian persempadanan semula kawasan pilihanraya akan dibuat oleh SPR setiap sepuluh tahun dan persempadanan terakhir yang dibuat melibatkan pertambahan 13 kerusi baharu di Sabah yang mulai dipertandingkan dalam pilihanraya negeri pada tahun 2020.


Ewon menambah: “Semua parti ditubuhkan untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya. Tetapi penyertaan parti dalam mana-mana blok akan berkongsi aspirasi bertanding pilihanraya dengan parti-parti komponen lain”.


“UPKO Sipitang belum berpeluang bertanding dalam pilihanraya sebelum ini kerana penyertaan kita dalam gabungan parti. Tetapi saya boleh melihat potensi besar parti ini mengambil bahagian dan peranan besar dalam pilihanraya akan datang.


Ewon bersalaman dengan para perwakilan yang hadir pada mesyuarat itu.

“Kita pertahankan parti ini dan terus perjuangkan aspirasi masyarakat Lundayeh untuk memiliki kerusi DUN majoriti suku bangsa ini di sini,” katanya.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian UPKO Sipitang Datuk Pangiran Lalung selaku Naib Presiden dan Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah di atas sumbangan berterusan beliau memastikan aspirasi dan keperluan masyarakat Lundayeh diangkat ke perhatian kerajaan.


“Semasa saya dalam kerajaan, Datuk Pangiran telah mengangkat banyak keperluan dan permasalahan masyarakat Lundayeh. Ada yang telah diselesaikan dan banyak lagi yang perlu diperjuangkan, antaranya kerusi DUN baharu di Sipitang yang melibatkan majoriti demografik masyarakat Lundayeh.



“Sebagai Naib Presiden parti, beliau telah memainkan peranan signifikan dalam kepimpinan parti dan berharap beliau akan terus kekal sebagai Naib Presiden bagi memastikan aspirasi masyarakat Lundayeh terus diwakili dalam kepimpinan tertinggi UPKO,” katanya.


Dalam mesyuarat agung tersebut, Datuk Pangiran menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian UPKO Sipitang bagi penggal 2022-2025.


Turut hadir Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden UPKO Datuk Gilbert Sham.

bottom of page