top of page
  • Wartawan Nabalu News

Upko alu-alukan penyertaan ahli baru, tidak perlu label mantan pemimpin - Ewon


10 Sept 2023

Oleh wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu sentiasa terbuka dan mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baharu termasuk bekas pemimpin parti tersebut.


“Saya amat pasti ahli-ahli UPKO dahagakan masa depan parti yang lebih baik, negara Malaysia dan Sabah yang lebih, keadaan rakyat yang lebih baik. Semua ini bermula daripada keterbukaan kita termasuk mengadakan konvensyen untuk berkongsi dan merumus pelbagai isu.


“Sebagai Presiden UPKO yang baharu, dengan pelbagai inisiatif yang kita telah dan akan laksanakan, dengan pendekatan baharu, saya berharap kepimpinan saya akan mendapat reaksi positif daripada rakyat. Saya ingin mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baharu termasuk bekas pemimpin parti ini,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan beliau pada Konvensyen Nasional parti itu di Dewan Menggatal, disini, semalam.


Ewon turut meminta ahli-ahli parti berhenti memberi label kepada sesiapa sahaja dalam ucapan-ucapan seperti penggunaan ‘kacang lupakan kulit’ atau ‘katak parti’.


“Saya pasti bekas pemimpin atau ahli ada sebab mereka yang kita tidak tahu semasa mereka meninggalkan parti ini. Saya mahu ahli-ahli parti UPKO menghentikan ucapan-ucapan yang melabel bekas pemimpin atau ahli parti sebagai kacang lupakan kulit atau katak parti.


“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin alu-alukan mereka semula balik ke parti UPKO. Kita doakan semua mereka boleh kembali bersama-sama dalam rumah keluarga besar kita ini,” katanya.


Terdahulu, dalam sesi perbahasan, beberapa perwakilan berbahas mengenai dengan bekas-bekas pemimpin yang menempah kejayaan melalui parti UPKO tetapi telah meninggalkan parti tersebut.

Comments


bottom of page