UPKO Bingkor Mantapkan Perpaduan dan Kepimpinan: Kennedy John Terima Sokongan Majoriti di Konvensyen Keningau 2025
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

19 Oktober 2025
KENINGAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau telah melakar satu lagi sejarah apabila Konvensyen UPKO Keningau 2025 yang berlangsung di Dewan Kampung Kuangoh Bingkor pada 14 Oktober lalu menyaksikan sokongan padu terhadap calon tempatan, Kennedy John, untuk dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Konvensyen tersebut dirasmikan penutupannya oleh Presiden UPKO Malaysia, Datuk Ewon Benedick, yang turut menyeru ahli-ahli parti agar terus memperkukuh perpaduan dan memperbaharui semangat perjuangan parti.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Donald Mojuntin, Setiausaha Agung Datuk Nelson W. Angang, para Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, serta wakil Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bahagian Keningau, Grelydia Gillod. Kehadiran pemimpin-pemimpin utama ini menggambarkan kesepakatan kukuh antara parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Pengerusi penganjur konvensyen yang juga Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bahagian UPKO Bingkor, Kennedy John, menzahirkan penghargaan kepada Presiden dan seluruh kepimpinan parti atas sokongan serta komitmen terhadap pembangunan politik di Keningau.
Beliau menegaskan bahawa konvensyen ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu UPKO di peringkat akar umbi.
“Melalui Konvensyen UPKO Keningau 2025 ini, marilah kita memperbaharui iltizam perjuangan. Konvensyen ini harus menjadi titik permulaan kebangkitan semula UPKO Bingkor. Biar suara kita hari ini menjadi gema perubahan yang akan didengari di seluruh Keningau, bahawa UPKO kini bersedia kembali untuk berkhidmat, bukan sekadar berpolitik,” ujar beliau.
Kennedy menegaskan bahawa UPKO Bingkor kini bersedia untuk bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dengan semangat perjuangan baharu. Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong agar terus bersatu hati dalam memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat Sabah.
“UPKO Bingkor bersedia sebagai satu pasukan, satu perjuangan, demi masa depan rakyat Sabah,” tegas beliau.
Sesi perbahasan turut menyaksikan usul bahawa DUN N.40 Bingkor perlu diberikan kuota kepada UPKO sebagai wakil calon Pakatan Harapan dalam PRN17. Usul tersebut telah diluluskan dengan sokongan majoriti ahli konvensyen. Dalam sesi penggulungan, Ketua Bahagian UPKO Keningau, Datuk Laurentius N. Ambu, memaklumkan bahawa majoriti ahli menyatakan sokongan penuh kepada Kennedy sebagai calon yang layak mewakili UPKO di Bingkor.
Konvensyen UPKO Keningau 2025 bukan sekadar platform perbincangan politik, malah menjadi medan memperkukuh solidariti dan memperjelas hala tuju perjuangan parti. Keputusan memberikan kuota DUN Bingkor kepada UPKO dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan keseimbangan kerjasama politik antara parti komponen PH, di samping memperkukuh kedudukan UPKO di kawasan pedalaman Sabah.
Dengan sokongan padu daripada akar umbi, kepimpinan yang mantap, serta semangat kebersamaan yang tinggi, UPKO Bingkor kini berada di landasan yang kukuh untuk menghadapi cabaran politik mendatang serta meneruskan agenda pembangunan rakyat di Keningau.
Comments