UPKO di landasan baik, saya dan rakan-rakan sedia bantu Ewon - Bumburing
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO di landasan baik, saya dan rakan-rakan sedia bantu Ewon - Bumburing


7 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Bekas timbalan presiden UPKO Datuk Wilfred Bumburing menyuarakan keyakinan bahawa parti itu akan berada dalam kedudukan yang baik di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick.


Berdasarkan pemerhatian terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Penampamg itu setakat ini, beliau yakin Ewon akan membawa lembaran baru kepada parti itu.


Menurut Bumburing, presiden UPKO itu telah berjaya mengatur langkah dengan baik sejajar dengan situasi politik Sabah yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah, sekali gus mengekalkan kerelevanan parti itu di peringkat negeri dan persekutuan.


"Saya boleh katakan UPKO berada dalam kedudukan yang baik dibawah teraju Ewon, seorang pemimpin muda yang mempunyai kualiti kepimpinan yang berkaliber," katanya sambil menzahirkan penilaian peribadi terhadap prestasi politik Ewon setakat ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan pra-Krismas Alumni UPKO di Amore Puru Putaton yang dihoskan oleh Presiden pengasas parti itu Tan Sri Bernard Dompok, di sini, semalam.


Majlis itu disempurnakan oleh Presiden UPKO yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Bumburing turut menggesa UPKO melihat perkara dalaman parti, bergerak ke hadapan, dan berani bersuara untuk memupuk perpaduan, khususnya dalam kalangan parti berasaskan Kadazandusun Murut, termasuk PBS dan Star, demi kebaikan negeri dan rakyat.


"Kita mahu rakyat kita bersatu semula, dan kita berharap dapat mencari titik persamaan untuk merealisasikan misi murni ini," katanya.


Bumburing turut meluahkan kebimbangan penduduk tempatan sambil berkata, "Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mempunyai ketua menteri Sabah yang berketurunan pendatang tanpa izin (PTII) suatu hari nanti.".


"Ini yang merisaukan, dan sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku. Sebab itu kita mesti bersatu," katanya.


Katanya lagi, beliau sentiasa menyokong perpaduan semua parti politik berasaskan Sabah dan telah menganggotai beberapa parti itu, namun, “nampaknya tiada yang berlaku dan ia hanya berlalu begitu sahaja. Kami telah mencuba beberapa kali, tetapi ia tidak menjadi kenyataan”.


“Masa berlalu membawa pelbagai cabaran dan peluang, membentuk pendekatan dan proses membuat keputusan. Sebagai bekas ahli politik, kami hanya memerhati dari jauh dan sekali-sekali kami memberikan komen," katanya.


Bumburing turut memuji usaha pihak penganjur atas usaha menganjurkan majlis seumpama itu yang tidak pernah diadakan sebelum ini.


Antara yang hadir ialah mantan Timbalan Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, mantan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh, mantan Ahli Dewan Negara Datuk Christine Vanhouten mantan ADUN Labuk Datuk Tan Yong Gee, mantan ADUN Petagas Datuk James Ligunjang, mantan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus serta mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UPKO Petrus Guriting, Lightson Kohiya, Monih Epin, Muji Ampau dan Cheong Kwee Min.


bottom of page