top of page

UPKO harus guna logo sendiri selaras perjuangan Sabah First- Pemuda UPKO Penampang

  • nabalunews
  • Nov 5
  • 2 min read

ree

5 November 2025


PENAMPANG: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengekalkan pendirian agar parti itu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah selaras dengan perjuangan ‘Sabah First’.


Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic berkata, parti itu juga perlu bersedia disingkirkan daripada Pakatan Harapan (PH) kerana pendirian berprinsip yang dibuat oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.


Katanya, ia berhubung dengan kesediaan meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai semakan kehakiman hak 40 peratus Sabah.


“Perlembagaan Parti UPKO jelas menyatakan matlamat parti adalah untuk memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Matlamat parti ini berdasarkan kepada semangat perjuangan Sabah First yang ditonjolkan oleh Datuk Ewon sepanjang beliau berada dalam Kabinet Persekutuan dan sepanjang memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


“Datuk Ewon telah menyatakan prinsipnya iaitu tidak dapat memberi sokongan kepada keputusan Kerajaan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berhubung hak 40 peratus Sabah ke atas hasil persekutuan yang dikutip di negeri ini,” katanya.


Menurutnya, penggunaan logo parti UPKO oleh calon-calon UPKO juga sangat wajar dan menyerlahkan semangat perjuangan Sabah First yang menjadi asas penubuhan parti.


“Saya percaya UPKO sudah bersedia untuk disingkir daripada PH kerana pendirian parti ini,” katanya.


Billy turut menyatakan keputusan mesyuarat agung Pakatan Harapan (PH) Sabah yang memilih Datuk Ewon sebagai Pengerusi tidak pernah diselesaikan oleh Pengerusi dan Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.


“Malah PKR Sabah telah memperkecilkan Datuk Ewon dan UPKO. Menjelang pilihanraya umum Sabah, barulah mereka mahu mengiktiraf Datuk Ewon sebagai Pengerusi. Malah perundingan kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya melibatkan pemimpin tertinggi PKR Sabah.


“Saya percaya sudah tiba masanya UPKO berdiri di kaki sendiri dan mendengar denyutan nadi rakyat Sabah.


“Pemuda UPKO Penampang mendesak parti untuk kekal menggunakan logo dan bendera parti sendiri dalam pilihanraya umum Sabah ini dan bersedia disingkir daripada PH Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page