UPKO mahu Malaysia terus progresif, tolak kempen meregangkan hubungan antara kaum – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO mahu Malaysia terus progresif, tolak kempen meregangkan hubungan antara kaum – Ewon

20 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu mahu Malaysia terus progresif dan menolak kempen yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum di negara ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, isu agama, kaum dan institusi Diraja tidak seharusnya menjadi bahan politik atau kempen kerana ia boleh menggundang ketegangan jika tersalah cakap.


“Saya tidak melihat fokus kempen mengenai tiga perkara ini akan membawa Malaysia ke satu masa depan yang lebih progresif, sebab dalam konteks Sabah dan Sarawak kita mahukan satu kepimpinan yang jelas dan memberi kepentingan semua wilayah, agama dan masyarakat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wilayah Sabah, di Pasific Sutera Hotel, di sini, hari ini.


Ewon berkata, sekiranya beliau dijemput menyampaikan ucapan semasa pilihan raya negeri di enam negeri di Semenanjung, beliau akan menyampaikan pandangan dari sudut Sabah.


“Kita perlukan pemimpin negara yang boleh memenuhi kepentingan semua wilayah dan negeri-negeri di seluruh negara dan kepentingan semua kaum.


“Kita menghormati hak setiap kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan setiap kaum juga mempunyai hak seperti dalam perlembagaan.



“Perlembagaan sudah cukup jelas mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi, Agong sebagai raja dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka biarlah ia menjadi status ‘quo’, manakala kaum-kaum lain mempunyai hak yang termaktub dan diamalkan menurut perlembagaan dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.


Sehubungan itu beliau berpendapat bahawa, Akta Hasutan harus menyekat perkara-perkara tertentu daripada dibincangkan secara kontroversi.


“Biarlah dalam kempen pilihan raya, kita bercakap tentang polisi pembangunan, misalnya bagaimana membantu membangunkan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.


“Selain itu, kita boleh bercakap mengenai polisi kestabilan politik, sebagai asas untuk membangunkan negara dan memakmurkan negara,” katanya.

bottom of page