UPKO Moyog semakin mantap, cawangan baru Kg.Tiriq, Lomunu/ Kibabaig
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Moyog semakin mantap, cawangan baru Kg.Tiriq, Lomunu/ Kibabaig

27 April 2024

Oleh Wartawan Nablau News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) khususnya Moyog semakin kukuh dengan pertambahan cawangan dan ahli-ahli baharu yang menyertai parti itu.


Penerimaan ahli baharu dan perasmian cawangan baharu Kg. Tiriq, Lomunu/Kibabaig dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin.


Turut hadir Setiausaha Bahagian UPKO Penampang, Brian Matasing, Ketua Pemuda Billy Joe Dominik, Ketua Wanita Felimina Andreas dan Ketua Generasi UPKO Penampang Joid Lasimbang.


Ketika berucap pada majlis itu, Donald merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Cawangan UPKO Kibabaig Robert Servarious atas kejayaan mengaktifkan kembali cawangan UPKO kawasan itu.


Beliau berkata, sebagai antara pemimpin UPKO di Penampang, menjadi tanggungjawabnya mengangkat anak muda yang berminat menjadi pemimpin.


“Mendengar keluhan, merapatkan anak-anak muda ini dengan pimpinan UPKO terutamanya Presiden kita Datuk Ewon Benedick akan memudahkan kepimpinan di sini membantu penduduk kampung.


“Saya melihat Robert mempunyai kesungguhan untuk membantu penduduk di kampungnya dan mempunyai hati yang besar untuk membantu tanpa mengharapkan balasan.


“Saya juga seperti beliau, berhasrat Moyog kembali kepada pemimpin yang boleh membangunkan Moyog, pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri dan pemimpin yang mengutamakan rakyat. Pemimpin seumpama ini banyak dalam parti UPKO dan Penampang tidak ketandusan pemimpin seperti ini.


“Percaya lah UPKO akan bertanding dan menang di kerusi Moyog, pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.


Sementara itu Robert berkata, pada pilihanraya lalu, beliau bukan ahli UPKO, tetapi melihat perjuangan UPKO beliau terpanggil berkempen dan meraih undi untuk calon parti UPKO, Datuk Ewon Benedick.


“Keputusan saya pada ketika itu adalah dengan rela hati, saya tidak sangka keputusan saya untuk berkempen pada ketika itu membuka hati saya menyertai perjuangan UPKO membela nasib rakyat Sabah, ahli UPKO, terutamanya penduduk kampung saya iaitu Kibabaig,” katanya.


Robert berkata, penyertaannya dalam parti itu adalah untuk memudahkannya membantu penduduk kampung.


“Saya mengucapkan terima kasih kerana Datuk Ewon amat prihatin terhadap keperluan rakyat. Pada bulan lalu atas jemputan saya, beliau datang ke gotong royong di kampong ini. Beliau merupakan presiden dan menteri pertama menjejak kaki di Tiriq untuk melihat sendiri keperluan rakyat,” katanya.


Beliau yakin dengan kepimpinan YB Datuk Ewon, UPKO boleh menawan kembali kerusi DUN Moyog, pada pilihan raya negeri akan datang.

bottom of page