UPKO Mukim Taginambur cadang gabungan parti-parti tempatan Sabah
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

UPKO Mukim Taginambur cadang gabungan parti-parti tempatan Sabah

Dari kiri: Johnny, Junus, Fernyestelin dan Julitah

19 Mac 2022

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Sebanyak 12 Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Mukim Taginambur mencadangkan supaya diwujudkan satu gabungan parti-parti politik tempatan di Sabah.


Ketua Cawangan Bukit Bendera Junus Bangaron berkata, ia penting bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman semua pemimpin politik tempatan yang ketika ini mempunyai agenda masing-masing.


“Kita ingin melihat satu gabungan parti-parti tempatan di Sabah yang kuat seperti di Sarawak. Sekiranya cadangan ini mendapat sokongan semua pihak saya juga berharap agar UPKO menjadi salah satu daripada gabungan itu," katanya,.


Junus

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab pada Program Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taginambur di Dewan Tamalang Tuguson, di sini, hari ini.


Program itu disempurnakan oleh Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian Upko Kota Belud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir ketua-ketua cawangan dan timbalan serta Ketua Pemuda, Wanita dan Gen-Y dari 12 Cawangan UPKO Mukim Taginambur.


Cadangan Junus turut mendapat sokongan Ketua Cawangan Tambulaung Johnny Gilong.


Johnny

"Ini satu cadangan yang amat baik dan dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah selama ini. Sekiranya kita bersatu dalam satu gabungan yang hanya dianggotai oleh parti-parti dari negeri ini, suara kita lebih kuat untuk menyuarakan atau menuntut hak-hak Sabah tanpa dipengaruhi pemimpin luar.


“Apa yang berlaku di Sarawak seharusnya dijadikan ikhtibar. Apabila parti tempatan bergabung, suara menjadi kuat dan apa yang diperjuangkan selama ini lebih mudah direalisasikan terutama isu mengenai penyelesaian pendatang asing tanpa izin (PATI) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.


Fernyestelin

Sementara itu Ketua Wanita Cawangan Tuguson Fernyestelin Matinin berharap para pemimpin parti-parti tempatan di negeri dapat melihat kebaikan cadangan ini seterusnya mempertimbangkanya demi masa depan politik Sabah yang lebih baik.


“Ini tidak bermakna kita anti-Semenanjung tetapi gabungan ini adalah untuk kebaikan seluruh rakyat Sabah yang sudah muak dengan keadaan politik semasa yang tidak ketentuan.


“Saya berharap cadangan ini dapat direalisasikan pada pilihan raya akan datang bagi membentuk satu kerajaan yang stabil dengan adanya gabungan parti yang kuat. Saya percaya rakyat Sabah menyokong gabungan ini," katanya.


Julitah

Timbalan Ketua Wanita Cawangan Naragai Baru Julitah Kandar berpendapat antara kelebihan sekiranya parti-parti tempatan Sabah bergabung ialah boleh memberi tumpuan untuk pembangunan negeri Sabah seperti di Sarawak.


“Kita boleh buat keputusan sama ada menyokong atau tidak apa-apa yang diputuskan di peringkat persekutuan… maksudnya kita ada pilihan sendiri dan berhak untuk membuat keputusan untuk negeri kita tanpa dipengaruh daripada pemimpin-pemimpin luar Sabah,” katanya.

bottom of page