top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Penampang sokong penuh Ewon bertanding di Parlimen Penampang - Donald Mojuntin


22 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang menyokong penuh keputusan kepimpinan atasan parti itu untuk mencalonkan Datuk Ewon Benedick bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Timbalan Presidennya Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata beliau sendiri terlibat secara langsung dalam keputusan itu.


“UPKO percaya era politik kini memerlukan pemimpin yang segar dan lebih dinamik serta berkeupayan. Kami menganggap Datuk Ewon sebagai pemimpin yang berpotensi tinggi membawa perjuangan Sabah dan rakyatnya yang berbilang kaum ke peringkat tinggi.


“Apatah lagi sebagai presiden yang termuda dalam UPKO dan juga antara Presiden parti yang termuda di seluruh Malaysia dengan umurnya 39 tahun.


“Sebenarnya Datuk Ewon tidak asing kepada Penampang kerana mendiang bapanya, Benedict Yong berasal dari Kg. Penampang Proper. Datuk Ewon membesar di sana dan bersekolah di SM St. Michael,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Donald yang juga Ketua Bahagian UPKO Penampang berkata, ahli-ahli UPKO Penampang amat bangga dengan bakal  presiden parti itu yang telah memulakan kepimpinan politiknya semasa berumur 20an sebagai Ketua Komulakan UPKO.


“Ketika menjawat Ketua Komulakan UPKO sejak 2005, Ewon kerap masuk kampung-kampung di Penampang bagi membantu wakil-wakil rakyat UPKO di sini.


“Beliau membesar dalam UPKO sebagai pemimpin berkaliber, berprinsip, berintegriti, matang dan sangat setia. Beliau melambangkan transformasi UPKO dalam era politik yang baru.


“Penerimaannya sebagai pemimpin teratas parti memperlihatkan keyakinan UPKO terhadap kepimpinan Datuk Ewon dan prmimpin-pemimpin muda. Jestru, kami menerima pencalonan beliau dengan hati terbuka,” katanya.


Donald  menegaskan bahawa PRU15 amat penting untuk menukar Kerajaan Persekutuan dan memilih Perdana Menteri yang baharu.


“Dalam konteks nasional, hanya gabungan Pakatan Harapan (PH) yang berdaya maju dan mempunyai kekuatan sebagai alternatif kepada kerajaan BN atau PN yang nyata gagal dalam pentadbiran negara.


"Kami percaya pengundi-pengundi di Penampang faham objektif ini. Saya berdoa dan berharap rakyat Penampang, lebih-lebih lagi generasi muda akan memberi sokongan dan undi kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Ewon dalam usaha kita untuk menubuh Kerajaan Persekutuan baru yang sekular, inklusif, telus dan memperjuangkan reformasi untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO disahkan bakal presiden selepas Datuk Seri Panglima Madius Tangau memberi laluan kepadanya menjelang Persidangan Agung Tri-Tahunan yang sepatutnya diadakan pada 16 Oktober lalu. Persidangan itu terpaksa ditunda kepada suatu tarikh selepas PRU15.


Donald berkata, peralihan jawatan Presiden UPKO itu adalah sebahagian daripada agenda penjenamaan semula atau 'rebranding' dan agenda 'succession' parti.


“Begitu juga dengan keputusan untuk mencalonkan Datuk Ewon di Penampang. Kawasan P. 174 Penampang merupakan satu kawasan yang penting dan dinamik kepada UPKO.


“Ia adalah tempat lahir dan kawasan "spiritual leader" UPKO, mendiang Datuk Peter Mojuntin seorang pejuang unggul UNKO dan UPKO lalu yang kita sanjungi dan menjadi inspirasi kepada warga UPKO kini.


“Tambahan pula, UPKO era ini dilahirkan di Penampang pada tahun 1994 dan Presiden pertama UPKO ialah Tan Sri Bernard Dompok juga dari Penampang. UPKO percaya era politik kini memerlukan pemimpin yang segar dan lebih dinamik serta berkeupayan seperti Ewon,” katanya.

Comentarios


bottom of page