UPKO Perlu Kekal Guna Lambang PH, Bukan Logo Sendiri – Penganalisis Politik
- nabalunews
- 19 hours ago
- 2 min read

8 September 2025
KOTA KINABALU: Cadangan akar umbi agar Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan lambang parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai langkah berisiko tinggi dan mampu menjejaskan kedudukan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik tempatan, Musli Oli berkata, kekuatan UPKO ketika ini bukan terletak pada simbol parti semata-mata, sebaliknya pada kepimpinan presidennya, Datuk Ewon Benedick.
Katanya, beliau percaya rakyat di Sabah lebih menilai kepimpinan dan kredibiliti presiden UPKO itu berbanding logo yang digunakan.
“Kalau UPKO diberi 6 hingga 7 kerusi, minimum ia boleh menang 5 kerusi dengan lambang PH. Tidak perlu guna lambang sendiri kerana simbol UPKO belum terbukti di peringkat pilihan raya. Yang penting bukan simbol, tetapi kepimpinan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Musli berkata, sentimen terhadap parti lokal di Sabah juga semakin merosot sejak akhir-akhir ini disebabkan kelemahan parti tempatan yang gagal mencontohi kejayaan Sarawak menyebabkan keyakinan rakyat menurun.
Situasi itu, katanya, menuntut UPKO untuk kekal bernaung di bawah gabungan nasional seperti PH, apatah lagi kedudukan Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah.
“Kalau Pengerusi sendiri cadangkan guna simbol parti, itu memberi mesej yang salah seolah-olah tidak yakin dengan gabungan.
“Malah ia boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan kepimpinan PH pusat, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Musli berkata, PH sebagai parti pemerintah di peringkat persekutuan boleh memberi nilai tambah besar kepada UPKO.
Selain itu, katanya, UPKO tidak perlu meniru strategi sesetengah gabungan parti yang cuba menggunakan lambang berbeza kerana keadaan UPKO tidak sama dengan parti-parti berkenaan.
“Ewon Benedick perlu kekal dengan pendekatan berbeza. Beliau masih muda, berpengaruh dan mampu menjadi pemimpin masa depan Sabah dalam kerangka nasional.
“Inilah kelebihan yang perlu ditonjolkan, bukannya berundur ke belakang dengan isu simbol. Ewon satu-satunya orang yang boleh deal ‘direct’ dengan Perdana Menteri,” katanya.
Sehubungan itu, Musli turut mengingatkan agar kepimpinan UPKO agar lebih berhati-hati dalam menguruskan hubungan dengan kepimpinan pusat.
“Khususnya dengan Perdana Menteri, kerana sebarang langkah yang dilihat bercanggah boleh menjejaskan kepercayaan dan kedudukan parti dalam gabungan,” katanya.
Comments