UPKO pertahan Proklamasi Malaysia, tidak harus ada proklamasi lain: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO pertahan Proklamasi Malaysia, tidak harus ada proklamasi lain: Ewon

Ewon ketika ditemui pemberita selepas perasmian Sambutan Kaamatan UPKO.

7 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu mempertahankan Proklamasi Malaysia dan tidak harus ada proklamasi lain.


Sehubungan itu katanya, Parti UPKO menolak mana-mana gerakan yang ingin mengadakan proklamasi berunsur perkauman.


“Saya ada membaca beberapa orang atau pihak yang ingin mendapatkan sokongan kepada proklamasi mereka yang mereka panggil sebagai Proklamasi Orang Melayu.


“Pada pandangan saya, ini tidak sepatutnya berlaku kerana pada UPKO dan saya, kita hanya ada satu proklamasi iaitu Proklamasi Malaysia dan proklamasi inilah yang menjadi dokumen penting kepada pengisytiharan penubuhan Malaysia,” katanya.

Ewon bersama para pemimpin UPKO menampi padi sebagai simbolik perasmian Sambutan Kaamatan UPKO.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Kaamatan UPKO dan Penuputan Karnival Usahawan dan Koperasi Madani, di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sekiranya semua kaum mahu membuat proklamasi, pastinya akan memberi kesan kepada perpaduan kaum di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.


“Kalau semua kaum mahu buat proklamasi, apa implikasinya kepada perpaduan yang selama ini kita usahakan? Bukan mudah untuk mengurus kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.


“Sabah sebagai satu wilayah yang sudah lama menjadi contoh kopada keharmonian kaum dan agama perlu mempertahankan Proklamasi Malaysia,” katanya.

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan UPKO.

Katanya lagi, sebagai rakan dalam pimpinan Sabah, beliau akan berusaha memastikan rakyat negeri ini tidak menyertai mana-mana usaha untuk membuat proklamasi berunsurkan kepentingan satu-satu kaum tertentu sahaja.


“Apa yang kita mahu ialah Sabah mempertahankan apa yang ditandatangi oleh pemimpin Sabah pada tahun 1963 iaitu Perjanjian Malaysia dan  selepas  Perjanjian Malaysia dibuat proklamasi Malaysia sebagai pengisytiharan penubuhan. Ini yang kita mesti pertahankan dan laksanakan,” katanya.


Mengenai Sambutan Kaamatan, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sambutan Kaamatan UPKO adalah acara tradisi yang dianjurkan parti itu setiap tahun.


“Semasa kita berhadapan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, kita hanya mengadakan sambutan ini secara maya dan hari ini kita mengadakannya secara fizikal dan saya berpuas hati dengan kehadiran para pengunjung yang berbilang kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kerana mengambil bahagian dalam pameran dan memberi penerangan melalui kaunter perkhidmatan mereka kepada orang ramai.


“Pada pandangan saya, ini penting dan wajar bagi kerajaan melalui agensi-agensi membuka kaunter perkhidmatan supaya peranan mereka dapat disampaikan kepada rakyat terutama para pengunjung yang hadir pada sambutan Kaamatan,” katanya.


Turut hadir, Presiden Kehormat UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Majlis Penasihat UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok, para pemimpin dan ahli-ahli majlis tertinggi parti itu.

bottom of page