UPKO progresif jika hormati kehendak majoriti, peralihan kepimpinan bukan isu - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO progresif jika hormati kehendak majoriti, peralihan kepimpinan bukan isu - Ewon


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

26 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


LABUAN: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu hanya akan menjadi progresif jika menghormati kehendak majoriti ahli dalam membuat keputusan berkaitan halatuju parti.


“Parti kita diasaskan untuk membudayakan amalan demokratik, kita menghargai semua pandangan daripada semua parti. Apabila kita menjenamakan parti ini dengan menonjolkan budaya progresif, kita hanya akan mencapainya jika kita menghormati kehendak majoriti terutama berkaitan dengan halatuju dan masa depan parti.


“Halatuju parti tidak boleh diputuskan oleh satu orang sahaja atau satu bahagian sahaja kerana parti ini milik semua ahli parti. Untuk kita benar-benar mahu menerajui perjuangan rakyat, kita mesti bermula dengan menghormati kehendak majoriti dalam parti,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama UPKO Labuan, di sini, hari ini.


Majlis tersebut dihoskan oleh Ketua Bahagian UPKO Labuan yang baharu, Macqueel George dan turut dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa bahagian tersebut.


Ewon berkata, peralihan kepimpinan adalah sesuatu perkara yang biasa dalam mana-mana parti politik sama ada sebelum atau selepas pilihanraya dan tidak semestinya menganggu fokus parti memenangi pilihanraya.


“UPKO Kota Belud, khasnya di Kadamaian berada pada tempatnya hari ini kerana ada peralihan kepimpinan drastik yang kita lakukan pada tahun 2013. Peralihan kepimpinan itulah yang meningkatkan kekuatan parti di bahagian ini.


Macqueel George, Ketua Bahagian Upko Labuan

“Di UPKO Labuan pada hari ini, saya mengalu-alukan terajui kepimpinan bahagian yang baharu, iaitu saudara Macqueel George yang sama generasi dengan saya selaku Ketua Bahagian yang baharu selepas mesyuarat agung tritahunan bahagian baru-baru ini. Saya tidak nampak peralihan kepimpinan ini sebagai satu masalah kepada bahagian ini.


“Saya juga tidak nampak masalah jika peralihan kepimpinan parti berlaku sebelum pilihanraya. Sebaliknya pula, mungkin itulah yang dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UPKO dan dapat menambah peluang calon-calon parti ini memenangi pilihanraya,” katanya.


Ewon berkata, perlembagaan parti mencakupi pemilihan semua jawatan apabila persidangan tritahunan diadakan.


“Pendirian saya mudah. Jika Bahagian lain mahu mempertimbangkan saya untuk mana-mana jawatan dalam parti, Bahagian tersebut haruslah melihat kepada rekod kepimpinan saya di Kota Belud, khasnya di Kadamaian.


“Saya menghargai setiap sokongan daripada banyak Bahagian. Saya juga menghormati Bahagian-Bahagian yang belum bersedia memberi sokongan pada kali ini. Tetapi Bahagian-Bahagian ini harus maklum bahawa penggal Parlimen akan berakhir pada tahun hadapan, disusuli pula dengan penggal DUN yang akan berakhir pada tahun tahun 2025. Lepas PRU-15 ini, akan ada pula PRN.


“Peralihan itu bukan satu isu. PRU dan PRN kini berasingan. Jadi tidak, akan ada masa yang sesuai jika pemilihan parti dikaitkan dengan pilihanraya. Isu sebenar adalah sama ada kita berupaya menghormati kehendak majoriti atau tidak,” katanya.


Pada Ahad lepas, Pemuda UPKO Tuaran membuat usul semasa mesyuarat agung tritahunan Bahagian tersebut supaya peralihan kepimpinan parti hanya dibuat selepas pilihanraya umum ke-15.


Sebelum ini, UPKO Penampang semasa dalam mesyuarat agung tritahunan pada Jun lepas pula meluluskan usul agar semua jawatan dalam parti termasuk Presiden dipertandingkan dalam pemilihan pada persidangan perwakilan tritahunan tahun ini.

bottom of page