top of page

UPKO rai ulangtahun ke-31, Ewon komited pimpin Parti jadi teladan politik

  • Wartawan Nabalu News
  • 1 day ago
  • 3 min read

3 Mei 2025


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick komited memimpin parti itu agar terus menjadi teladan dalam landskap politik.


Beliau berkata, perjuangan UPKO mesti berlandaskan kepada 17 tujuan dan matlamat penubuhan dan setiap ahli perlu memahami serta mendukung asas perjuangan tersebut.


“Jika ada yang bertanya, ‘apa yang saya dapat dengan menyertai UPKO?’, maka jawapan saya mudah — anda adalah sebahagian daripada legasi UPKO. Tanpa anda, tidak akan wujud UPKO.


“Tetapi jika kita menjawab persoalan itu dengan ekspektasi pulangan. kepada diri sendiri, maka mungkin kita silap bertempat, melainkan kita mahu berbangga mendukung dasar-dasar dan amalan parti yang baik dan mulia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun UPKO Ke-31, di SICC, di sini, semalam.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagai anggota Kabinet Persekutuan mewakili UPKO, beliau mengetengahkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, yang memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak melalui pelbagai inisiatif, antaranya BEEP Plus, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, dan projek Tamu Desa.


Katanya, dalam konteks dalaman parti pula, beliau turut memperkenalkan dasar “Satu Bahagian, Satu Persatuan, Satu Koperasi, Satu Success Story” bagi membudayakan pencapaian dan kejayaan sebagai sumber motivasi ahli.


Mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ewon berkata sembilan daripada 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah diselesaikan semasa pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim


Katanya ini adalah perjuangan UPKO bersama Pakatan Harapan Sabah.


“Ahli-ahli UPKO harus berbangga kerana kita menjadi sebahagian daripada penyelesaian tuntutan ini yang tidak dapat diselesaikan bertahun-tahun lamanaya sebelum ini.


“Sudah tentu kita akan terus memainkan peranan aktif secara strategik untuk tuntutan-tuntutan yang selebihnya,” katanya.


Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, Ewon yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan kesiapsiagaan UPKO untuk bertanding dan menambah bilangan kerusi, selain mempertahankan kawasan sedia ada seperti Kadamaian.


“Parti UPKO sebagai komponen PH Sabah sudah tentu akan mengambil bahagian dalam PRN dengan wawasan untuk menang kerusi tambahan selain mempertahankan kerusi di Kadamaian.


“Sementara perundingan dalaman PH Sabah dan perbincangan tidak rasmi dengan gabingan lain terus berlangsung, UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.


“Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan Parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya,” kata Ewon.

Beliau turut menggesa semua parti politik di Sabah agar mengutamakan perpaduan dan tidak terjebak dalam persaingan yang merugikan rakyat serta masa depan negeri.


“PRN ini bukan tentang siapa paling lantang, bukan persaingan emosi yang sensasi, bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak tetapi tentang perpaduan dan masa depan rakyat Sabah.


“Sebab itu UPKO harus bekerjasama dengan parti-parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional,” katanya.


Ewon berkata, dalam perundingan yang akan berlangsung kelak, UPKO akan menyatakan pandangan dan pendirian serta menjadi advokasi kepada perpaduan.


Beliau turut menyeru agar seluruh ahli UPKO terus menjadikan parti sebagai wadah perjuangan yang rapi, mulia dan berfungsi, walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak.


“Kalau ada yang mengatakan parti kita kerdil, maka senyumlah dan teruskan tanggungjawab dan peranan kita yang memberi kesan besar kepada rakyat. Pimpinan UPKO dan ahli-ahli harus menjadi teladan politik yang baik.


“Kebajikan kita mesti bermula dengan kebaikan. Kebaikan mesti berupaya mencetus perpaduan. Perpaduan harus menjadi nadi kerjasama. Kerjasama mesti berlandaskan keikhlasan. Supaya pada akhirnya kita boleh berbangga, saya berada di dalam UPKO atas sebab dan tujuan yang betul,” katanya.


Sambutan ulangtahun ke-31 ini turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti dan ahli-ahli dari seluruh Sabah, menunjukkan solidariti dan kesungguhan UPKO untuk terus kekal relevan dalam arus politik Malaysia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page