top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO tegas komposisi 1/3 kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak



12 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tetap dengan pendirian mahu memastikan Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.


Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana tuntutan untuk memperbetulkan semula komposisi kerusi di Dewan Rakyat sudah lama tertangguh.


“Pandangan saya, keperluan memperolehi satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak sudah lama tertangguh, kerana semasa kita membincangkan penubuhan Malaysia ada beberapa tuntutan daripada Sabah, Sarawak dan Singapura.


“Ianya jelas dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) supaya komposisi kerusi Dewan Rakyat haruslah memberikan satu pertiga kepada negeri-negeri atau wilayah selain Semenanjung atau Tanah Melayu … ia harus kekal, malangnya ianya diubah dan memberi kelebihan kepada Sememanjung sehingga kini,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon C (Bahagian Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang), di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap, dengan adanya sokongan parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah komposisi kerusi Dewan Rakyat dapat perbetulkan semula.


“Ia sudah tentu memerlukan pindaan dalam Perlembagaan dan pindaan persempadanan pilihan raya.


“Saya difahamkan sudah ada perbincangan diantara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah terkait dengan perkara ini dan saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dibuat untuk kita memastikan 1/3 kerusi Dewan Rakyat itu diberikan kepada Sabah dan Sarawak.



“Saya juga menyokong Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) dalam hal ini yang partinya telahpun menuntut dan meluluskan resolusi menuntut satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.


Ewon yang juga ahli Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata, salah satu agenda yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu ialah satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat untuk kedua-dua negeri berkenaan.


“Saya akan menggunakan platform tersebut untuk membangkitkan pendirian UPKO dan rakyat Sabah terkait dengan keperluan ini.


Ewon berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah akan bermula 2025. “Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap lapan tahun akan mencadangkan persempadanan semula pilihan raya termasuk kawasan-kawasan baharu”.



“Kita harus membincangkan keperluan itu bermula sekarang dan saya fikir tempoh (tahun) 2025 itu adalah untuk SPR mencadangkan persempadanan pilihan raya yang baharu dengan mengambil kira populasi yang bertambah dan hal-hal lain yang terkait dengan keperluan itu.


“Pendirian UPKO kekal iaitu satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat mesti diberikan kepada Sabah dan Sarawak.


“Kita perlu perbetulkan semula apa yang telah dimulakan pada tahun 1963 yang telah diubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia,” katanya.

Comments


bottom of page