Usaha menambah baik operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara diperhebatkan
- nabalunews
- Sep 26, 2024
- 2 min read

26 September 2024
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah akan memperoleh aset baharu iaitu 24 buah unit kenderaan Proton X70 manakala 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD) baharu akan ditempatkan di seluruh negara. Itu antara penambahbaikkan yang dilaksanakan JKDM dalam usaha memantapkan lagi operasinya di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata penambahbaikkan itu turut meliputi aspek pemeriksaan kontena import dan eksport secara 100 peratus di semua pintu masuk terutamanya di Pelabuhan Klang dan memperkenalkan Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE).
Menurutnya, sistem SDSIE akan mula dilaksanakan Pelabuhan Klang, Selangor bermula suku tahun kedua tahun ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Jelasnya, inisiatif "seamless trade facilitation" kepada pihak pengimport atau ejen penghantaran itu bagi mengelak berlakunya penompokan kuasa ke atas mana-mana individu dalam menyaring proses pengikraran Borang Kastam.
Selain itu, Anis Rizana berkata sebanyak 66 unit mesin pengimbas dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut ditambah di seluruh negara bagi meningkatkan tahap kecekapan pemeriksaan barang dagangan bagi membanteras kegiatan penyeludupan.
Di samping itu, katanya JKDM dilantik sebagai wakil Jawatankuasa Audit bagi Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) bagi Rantau Asia Pasifik berkuat kuasa mulai Julai 2024 hingga Jun 2026.
Menurut beliau lagi, jumlah kutipan hasil JKDM setakat 31 Ogos tahun ini telah mencapai RM41.68 bilion.
Hasil tersebut lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM36.13 bilion, katanya.
“Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan ia menunjukkan bahawa JKDM berada di landasan yang tepat.
“Hasil daripada strategi yang telah kita buat kini membuahkan hasil,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.
Mengulas mengenai sasaran keseluruhan kutipan hasil tahun ini, beliau yakin JKDM mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM56 bilion.
Menurut beliau, pada tahun lalu Kastam telah berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion, iaitu naik tiga peratus daripada kadar yang diunjurkan sebanyak RM53.5 bilion.
Dalam perkembangan lain, Anis Rizana berkata dalam tempoh tersebut pihaknya berjaya menyelesaikan 5,196 kes dengan nilai rampasan barangan termasuk duti dan cukai berjumlah RM1.25 bilion iaitu peningkatan 42.47 peratus berbanding RM884.26 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Selain itu, antara kejayaan besar tahun ini ialah rampasan sebanyak 15 buah kontena dengan muatan komoditi rokok sejumlah 150.26 juta batang dan 30 tan tembakau serta 32.5 tan sisa plastik bernilai RM118.18 juta,” katanya.
Genap setahun menerajui JKDM hari ini, Anis Rizana berkata kejayaan itu merupakan hasil manifestasi dan perubahan yang dilakukan oleh jabatan itu dalam menguatkuasakan undang-undang.
Comments