Valeria John Akhirnya Bergelar Juara Selepas Enam Cubaan
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 27 Ogos: Selepas enam kali mencuba dan beberapa kali sekadar menduduki tempat ketiga, Valeria John, 26, akhirnya berjaya meraih gelaran juara kategori Model Physique Wanita pada Kejohanan Mr. Sabah 2026 – Bodybuilding and Physique Championship.
Kejohanan itu berlangsung di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud, pada 22 Ogos lalu.
Valeria yang mewakili New York Fitness berkata, kejayaan itu amat bermakna selepas melalui perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, disiplin dan komitmen berterusan dalam sukan bina badan.
Menurutnya, kemenangan berkenaan bukan sekadar kejayaan membawa pulang trofi, tetapi membuktikan bahawa usaha dan disiplin yang konsisten akhirnya mampu membuahkan hasil.
“Saya mahu menjadi contoh kepada wanita muda yang mungkin belum menyedari betapa kuatnya mereka. Saya tidak mempunyai idola ketika kecil. Sekarang, saya mahu menjadi idola yang saya idamkan dahulu,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Valeria yang juga jurulatih dan pelatih peribadi bertauliah berkata, beliau mahu menggunakan pencapaiannya itu sebagai platform untuk melatih, membimbing dan memberi inspirasi kepada generasi baharu, khususnya wanita muda dalam membina kekuatan fizikal serta mental.

Perjalanan Valeria dalam sukan bina badan bermula ketika berusia 14 tahun apabila menjalani latihan di UTC Kota Kinabalu di bawah bimbingan mendiang jurulatihnya, Joseph.
Bagaimanapun, pada usia 16 tahun, beliau terpaksa meninggalkan sukan berkenaan buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada pelajaran.
Empat tahun kemudian, Valeria kembali ke gimnasium pada usia 20 tahun dan mula menjalani latihan dengan lebih serius di bawah bimbingan Fenno Duing yang kekal sebagai jurulatihnya sehingga kini.
Berbekalkan latar belakang pengajian dalam bidang Sains Sukan, beliau turut mendalami aspek fisiologi, prestasi dan kaedah latihan yang membantu perkembangannya sebagai atlet serta jurulatih.
Valeria berkata, kegagalan meraih gelaran juara dalam pertandingan terdahulu tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya setiap keputusan dijadikan pengalaman untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi.
“Saya percaya wang boleh membeli banyak perkara, tetapi tidak boleh membeli tubuh, tabiat, disiplin dan mentaliti yang dibina melalui kerja keras bertahun-tahun. Semua itu perlu diusahakan,” katanya.
Menurutnya, sukan bina badan bukan semata-mata mengenai pertandingan, sebaliknya satu seni membentuk tubuh yang memerlukan ketekunan, kesabaran dan disiplin tinggi.
Selepas meraih gelaran juara yang dinanti-nantikan, Valeria menganggap kejayaan berkenaan sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dalam sukan itu.
“Kemenangan ini hanya membuktikan bahawa kemajuan mengambil masa. Saya berharap perjalanan saya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus berusaha walaupun hasilnya tidak datang dengan segera,” katanya.















Comments