Viviantie Sarjuni Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Baharu INSKEN
- nabalunews
- Jul 1
- 1 min read

1 Julai 2025
CYBERJAYA: Viviantie Sarjuni dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, INSKEN berkata pelantikan itu diyakini dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja INSKEN serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia khususnya golongan usahawan.
“Ia sekali gus akan memperkasakan ekosistem keusahawanan negara dalam membantu golongan usahawan mikro dan informal untuk kekal berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
Sebelum menyertai INSKEN, Viviantie pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC).
Beliau kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan juga sebagai Presiden Alumni Chevening Malaysia bagi penggal 2024-2026.
Viviantie membawa pengalaman lebih dua dekad dalam syarikat multinasional (MNC) dan agensi kerajaan dengan kepakaran dalam bidang teknologi, inovasi dan kreativiti.
"Beliau turut memiliki pengalaman luas dalam keusahawanan sosial, termasuk menjalani program selama enam bulan di Scotland bagi mendalami ekosistem inovasi sosial di Eropah.
“Selain itu, berkhidmat selama empat tahun dengan sebuah syarikat berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, yang memperkukuh pemahaman beliau mengenai ekosistem keusahawanan di peringkat global," menurut kenyataan itu.
Sepanjang kerjaya beliau, Viviantie turut menerima beberapa pengiktirafan berprestij, antaranya Kindness & Leadership 50 Leading Lights in the Asia Pacific 2024, Wiki Impact - 100 Changemakers in Malaysia 2024 serta disenaraikan sebagai antara Sabah's 100 Most Inspiring Women.
תגובות