WANITA 100 TAHUN ANTARA TIGA KEMATIAN DI SABAH
- nabalunews
- Oct 15, 2020
- 1 min read

15 OKTOBER 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Tiga lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negeri ini, termasuk seorang wanita bukan warganegara berusia 100 tahun di Hospital Duchess of Kent Sandakan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 170 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata, kes kematian ke-168 melibatkan wanita warganegara berusia 54 tahun di Hospital Queen Elizabeth yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung serta pesakit kelenjar tiroid.
“Kes kematian ke-169 pula melibatkan seorang lelaki bukan warganegara berusia 68 tahun dari Hospital Tawau yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan kematian ke-170 melibatkan wanita bukan warganegara berusia 100 tahun yang dirawat di Hospital Duchess of Kent (Sandakan),” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Mengenai perincian kes baharu mengikut negeri yang dilaporkan pada hari ini, Noor Hisham berkata, Sabah mencatat angka tertinggi iaitu 304 kes, diikuti Selangor (150 kes), Perak (52 kes), Kedah (31 kes), Pulau Pinang (16 kes), Negeri Sembilan (11 kes), Kuala Lumpur (sembilan kes), Labuan (enam kes), Sarawak, Melaka dan Kelantan masing-masing dua kes dan Putrajaya mencatat satu kes.
Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu positif di Sabah, 165 kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19, 25 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 13 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Olive dan 101 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.
Comments