Wanita beri sumbangan tinggi dalam sektor perubatan Wanita beri sumbangan tinggi dalam sektor perubatan
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Wanita beri sumbangan tinggi dalam sektor perubatan



28 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Wanita memainkan peranan dan memberi sumbangan tinggi dalam memacu kecemerlangan sektor perubatan di Malaysia.


Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Jasmine Teo berkata, kejayaan hasil pemerkasaan dan kesaksamaan wanita dalam bidang perubatan tidak dapat dinafikan dengan peningkatan penglibatan wanita dalam bidang ini setiap tahun.


“Wanita juga mampu memegang jawatan strategik dalam pentadbiran perubatan, contohnya jawatan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang disandang dua kali berturut-turut oleh wanita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Webinar Wanita dan Perubatan Sains anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWS), hari ini.


Webinar ini diadakan sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2021.


Jasmine bekata, Tinjauan Medscape tahun 2020, mendapati 64 peratus doctor wanita menghadapi cabaran besar dalam keseimbangan kerja dan kehidupan.


“Ini kerana jadual kerja yang agak ketat dan perlu diberi keutamaan berbanding dengan masa kualiti bersama keluarga dan sekaligus turut menjadi tekanan kepada mereka.


“Kebimbangan ini semakin meningkat semasa pandemik COVID-19. Ramai kaum wanita yang bertugas sebagai frontliner sejak pandemik bermula. Mereka perlu kuat dari segi mental dan fizikal, dengan memberikan tumpuan yang sama kepada keperluan tugas dan keluarga.


“Ini adalah perjuangan dan pengorbanan berterusan bagi seorang doktor dan juga para petugas perubatan yang lain,” katanya.


Sehubungan itu katanya, kementerian itu menetapkan dasar pemberian penajaan Biasiswa Kerajaan Negeri untuk lebih memfokuskan kepada pengajian dalam bidang sains dan teknologi bagi memperkasakan wanita dalam bidang sains.


“Ini selaras dengan matlamat utama kementerian untuk memupuk budaya Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai pemangkin dan pemacu kepada sektor sosioekonomi bagi pembangunan negeri Sabah,” katanya.


Jasmine berkata, sejak tahun 2020, kementerian itu telah menaja seramai 49 orang anak Sabah dalam bidang perubatan, pergigian dan veterinar dan dijangka akan bertambah mengikut keperluan semasa.


“Pelbagai inisiatif dan koloborasi stategik yang telah dan sedang dijalankan dalam membudayakan sektor pendidikan dan kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, ‘Engineering’ dan Matematik (STEM) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Institusi Pendidikan dan Badan Bukan Kerajaan (NGOs) agar dapat meningkatkan daya saing rakyat Sabah dalam pasaran kerja,” katanya.


Katanya lagi, KSTI juga akan terus bekerjasama dengan JHEWA untuk mengetengahkan dan menggalakkan lebih banyak penglibatan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap hidup dan kemajuan di negeri ini.


Mengenai program itu Jasmine berkata, ia merupakan antara usaha KSTI untuk menyuntik semangat bukan sahaja kepada kaum wanita malah kepada seluruh masyarakat di negeri ini untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang sains perubatan.


“Tema sambutan Hari Wanita kali ini ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ bertepatan dengan situasi pandemik COVID-19 yang kita hadapi sejak tahun lalu. Pandemik ini memberi kesan yang sangat besar kepada sistem kesihatan fizikal dan juga mental.


“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya melibatkan psikologi dan kesejahteraan orang sekeliling kita,” katanya.


Antara panel jemputan webinar itu ialah Pengarah, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz dan Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Madya. Dr Farrah Hani Imran.

bottom of page