top of page

Wanita GRS Bantu 30 Asnaf

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

22 Februari 2026


KOTA KINABALU: Sempena keberkatan bulan Ramadan, Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 asnaf dalam satu program kebajikan, di sini baru-baru ini.


Sumbangan itu disampaikan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang menzahirkan komitmen berterusan pergerakan itu dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.


Beliau berkata, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat.

“Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.


“Bantuan ini mungkin kecil tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bakul makanan kepada 30 orang asnaf di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun dan Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot.


Azizah turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.


“Selain menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan, syarikat-syarikat termasuk GLC juga digalakkan memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat berterusan, agar amalan kebajikan ini menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim,” katanya.


Azizah berkata syarikat korporat harus berusaha membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.


“Bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dan NGO bukan saja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah turut meringankan bebanan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu,” katanya.


Pada majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam mewakili Parlimen Beaufort (50), Sipitang (50) dan Kimanis (50) manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan (50), manakala Perkumpulan Perempuan Sabah (100).

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page