Wanita hamil lapan bulan maut jatuh dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu
nabalunews
Aug 1, 2024
1 min read

1 Ogos 2024
LAHAD DATU : Seorang wanita yang hamil lapan bulan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan, mangsa dihantar oleh keluarganya ke Hospital Lahad Datu kerana bertindak agresif.
Katanya, mangsa berusia lingkungan 20-an kemudian dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
"Semalam ketika dalam wad, mangsa dikatakan cuba untuk terjun dari tingkap wad di tingkat tiga namun dapat dihalang oleh jururawat bertugas.
"Mangsa diberi rawatan dengan tangan diikat kerana mangsa bertindak agresif," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulbaharin berkata, pada 6.30 petang semalam, ikatan pada tangan mangsa dibuka selepas diberi ubat penenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif.
Katanya, pada 7.20 malam hari sama, jururawat bertugas mendapati mangsa tiada di katil lalu membuat pemeriksaan dan menemukan mangsa terbaring di atas rumput tingkat di bawah hospital itu.
"Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan dan Trauma untuk rawatan lanjut. Mangsa seterusnya menjalani pembedahan untuk menyelamatkan bayi dalam kandungan yang berusia 33 minggu, namun bayi itu disahkan meninggal dunia dalam kandungan.
"Mangsa dimasukkan ke Wad unit rawatan rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia hari ini," katanya.
Katanya, tiada unsur jenayah ditemukan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan sebagai laporan mati mengejut," katanya.















Comments