Wanita UPKO Kota Belud Tekankan Perpaduan Dan Sokongan Kepada Kepimpinan Ewon
- nabalunews
- 27 minutes ago
- 1 min read

29 Disember 2025
KOTA BELUD: Sayap kepimpinan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud mengadakan Mesyuarat Agung Tahun 2025, di Mini Dewan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian di sini, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Wanita Bahagian Kota Belud, Datin Saniah Tuak, itu turut membincangkan beberapa agenda penting sebagai penutup tahun 2025 selain membuat persiapan awal bagi tahun 2026.
Saniah berkata, mesyuarat kali ini menandakan sesi terakhir Jawatankuasa Wanita Bahagian untuk penggal 2025.

Katanya, semua ahli digesa agar untuk mengekalkan perpaduan dan semangat kesinambungan selaras dengan falsafah perjuangan parti.
“Saya menggesa semua ahli untuk terus mengekalkan hubungan dan memperkukuh rangkaian serta daya saing parti.
“Sumbangan pengalaman dan nasihat yang konstruktif kepada barisan kepimpinan baru amatlah dihargai,” ujarnya.

Menurutnya, pergerakan wanita juga digesa agar sentiasa mengingati kepimpinan parti dalam doa serta bersikap bijaksana dan bersatu dalam menangani sebarang bentuk tohmahan atau tanggapan negatif terhadap parti.
Sementara itu, Setiausaha Wanita UPKO Bahagian, Julitah Kandar berkata, antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah penyediaan sayap Wanita bagi menghadiri dan membantu Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru.
Katanya, kedua-dua acara berkenaan akan dihoskan oleh Presiden parti, Datuk Ewon Benedick, yang juga merupakan ADUN Kadamaian.
“Sambutan dijadualkan berlangsung di Kadamaian Square, Taginambur, pada 5 Januari depan.
“Pergerakan wanita juga dimaklumkan, pameran daripada semua agensi di bawah kementerian Ewon akan diadakan pada majlis tersebut,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat turut diserikan dengan sesi pertukaran hadiah dan jamuan ringan yang menunjukkan hubungan erat dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli.
Mesyuarat turut membincangkan perancangan strategik dan takwim aktiviti AJKWB bagi tahun 2026, bagi memastikan kesinambungan perjuangan dan pengukuhan peranan sayap Wanita di peringkat akar umbi.














