Wanita UPKO Kota Marudu Komited Perkasa Penglibatan Wanita Dalam Parti Dan Masyarakat
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA MARUDU, 4 Ogos – Mesyuarat pertama sayap Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu bagi sesi 2026-2029 yang berlangsung pada 2 Ogos lalu telah menggariskan komitmen padu untuk memperkasa penglibatan wanita dalam perjuangan parti dan pembangunan masyarakat.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita, Suzie Salapan itu dihadiri oleh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita bahagian berkenaan.
Suzie dalam kenyataannya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AJK yang hadir atas komitmen, sokongan, serta semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang sesi perbincangan berlangsung.
"Saya komited untuk memastikan pergerakan Wanita UPKO Bahagian Kota Marudu terus bergerak secara konsisten, berkembang dengan lebih progresif, serta memperkasa wanita dalam perjuangan parti dan pembangunan masyarakat," katanya.
Beliau turut berkongsi misi dan hala tuju bersama barisan kepimpinan bagi memastikan setiap perancangan strategik yang dibincangkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Suzie menegaskan bahawa peranan wanita bukan sahaja penting dalam jentera parti, malah turut memberi impak besar kepada pembangunan komuniti setempat.
"Dengan semangat kebersamaan, komitmen dan kerja berpasukan, saya yakin kita akan mampu membawa Wanita UPKO Bahagian Kota Marudu ke arah yang lebih cemerlang," tambahnya.
Mesyuarat sulung bagi sesi 2026-2029 itu menjadi platform permulaan kepada barisan baharu Wanita UPKO Bahagian Kota Marudu dalam merangka strategi dan hala tuju pergerakan bagi tempoh tiga tahun akan datang, sekaligus memastikan suara wanita terus diperkasa di peringkat akar umbi.











