top of page

Warga Asing Ditahan Polis Selepas Cubaan Curi Dinamo di Kilang Tawau

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


9 Mac 2026


TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 20-an diberkas polis kerana disyaki cuba mencuri sebuah komponen mesin di sebuah kilang di Merotai Besar, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2.49 pagi di pondok pengawal kilang berkenaan. Hasil rampasan polis menemui sebuah dynamo motor 415V yang disembunyikan di dalam karung.


"Hasil soal siasat awal mendapati, lelaki tersebut mengaku terlibat dalam cubaan mencuri sebuah dynamo motor 415V," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 malam, pengawal keselamatan kilang terlebih dahulu menahan seorang lelaki yang bertindak mencurigakan di kawasan kilang. Susulan itu, laporan polis dibuat dan membawa kepada tangkapan.


Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai kemudiannya digerakkan dan berjaya menahan suspek di lokasi kejadian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan pecah masuk dan mencuri.


ACP Jasmin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan kegiatan jenayah. Beliau berkata, penguatkuasaan dipergiat termasuk operasi dan rondaan di premis perniagaan serta kawasan awam sepanjang Ramadan bagi memastikan keselamatan masyarakat dan industri terjamin.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page