Warga Asing Tanpa Dokumen Ditahan, Dadah RM550 Rampas Di Semporna
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
18 Mac 2026
SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan polis bersama dadah bernilai RM550 dalam satu operasi di Kampung Panji, daerah Semporna, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Semporna kira-kira pukul 5 petang.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemukan dadah seberat 5.02 gram yang disyaki methamphetamine. Suspek yang juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan sebatan maksimum tiga kali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
"Kejayaan ini adalah hasil kecekapan anggota di lapangan serta maklumat daripada masyarakat. Kerjasama orang ramai amat dialu-alukan untuk memastikan daerah ini terus selamat," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai menjauhi kegiatan dadah kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh merosakkan masa depan individu serta memberi kesan negatif kepada keluarga dan masyarakat.











