top of page

Warga Asing Tidak Pernah Dibenar Mohon, Miliki Lesen Penjaja – Kor Ming

  • nabalunews
  • Jul 29, 2025
  • 2 min read

28 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan pasar.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata tindakan berkenaan selaras dengan dasar dan peraturan sedia ada iaitu undang-undang kecil (UUK) penjaja serta UUK tred, perniagaan dan perindustrian.


“Di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil, selain tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.


“Manakala di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pula, pengeluaran lesen perniagaan hanya untuk warganegara Malaysia serta membenarkan warga asing diambil sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat, memiliki pas kerja atau permit dagang sah,” katanya.


Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berhubung perniagaan yang dijalankan warga asing di Malaysia khususnya dalam sektor peruncitan, semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Kor Ming berkata, PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat lesen yang telah dikeluarkan terhadap mana-mana perniagaan dan pemegang lesen melalui tindakan tegas termasuk sitaan, kompaun, penutupan premis serta pembatalan lesen.


Sehubungan itu katanya, agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan PBT telah meningkatkan operasi bersepadu pemantauan serta penguatkuasaan perniagaan secara berterusan bagi mengekang isu penyalahgunaan lesen dan premis perniagaan di kawasan pentadbiran PBT.


"Sejak 2023 hingga kini, PBT telah melaksanakan sebanyak 3,703 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang membabitkan warga asing.


“Menerusi operasi ini, PBT mengeluarkan 14,834 kompaun, membatalkan 23 lesen dan menyita 2,880 premis perniagaan atas sebab pelbagai kesalahan pelanggaran syarat yang ditetapkan PBT, termasuk kesalahan peniaga tempatan yang memindah milik lesen kepada warga asing secara haram,” katanya.


Dalam pada itu, Kor Ming berkata kementeriannya dan PBT sentiasa terbuka untuk bekerjasama secara konstruktif dengan agensi lain dalam menyokong usaha penguatkuasaan PBT.


“Mengambil kira bahawa bidang kuasa PBT hanya terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja, maka kerjasama bersepadu amatlah dialu-alukan bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page