top of page

Wilson Chieu dipilih tanpa tanding Ahli Exco Generasi Muda UPKO Malaysia

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

TENOM: Ketua Pergerakan Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tenom, Wilson Chieu, dipilih tanpa bertanding sebagai Ahli Exco Generasi Muda UPKO Malaysia bagi sesi 2026–2029 pada pemilihan kepimpinan Generasi Muda di peringkat pusat.


Pemilihan itu mencerminkan keyakinan dan kepercayaan barisan Generasi Muda UPKO dari seluruh bahagian terhadap kemampuan serta komitmen beliau dalam memperjuangkan agenda anak muda dan memperkukuhkan hala tuju parti.


Wilson berkata, proses demokrasi dalam parti perlu terus dipelihara dengan semangat kematangan, saling menghormati dan kebersamaan.


Menurutnya, setiap proses pemilihan bukan medan untuk mewujudkan perpecahan, sebaliknya peluang memperkukuhkan kesatuan serta membina barisan kepimpinan yang lebih mantap demi masa depan UPKO.


“Saya menyeru seluruh warga Generasi Muda UPKO agar terus mengutamakan perpaduan dan semangat kekeluargaan.


“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah organisasi yang demokratik, namun matlamat perjuangan kita tetap sama iaitu memperkukuhkan parti, mempertahankan prinsip Sabah First serta berkhidmat dengan penuh integriti kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata, kepimpinan bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keikhlasan, tanggungjawab dan kesediaan untuk bekerja bersama seluruh kepimpinan di semua peringkat.


“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati. Kepercayaan yang diberikan bukan untuk dibanggakan, tetapi menjadi pemangkin untuk bekerja lebih keras, mendengar suara akar umbi serta memastikan Generasi Muda UPKO terus relevan, progresif dan menjadi pemacu kepada masa depan parti,” katanya.


Beliau turut mengajak seluruh kepimpinan dan ahli Generasi Muda UPKO berganding bahu memperkukuhkan organisasi serta memperluaskan peranan anak muda dalam membawa aspirasi rakyat.


Pemilihan tanpa bertanding beliau sebagai Ahli Exco Generasi Muda UPKO Malaysia bagi sesi 2026–2029 dilihat sebagai manifestasi keyakinan terhadap kepimpinan baharu yang diyakini mampu memperkukuhkan lagi pergerakan Generasi Muda UPKO ke arah sebuah organisasi yang lebih dinamik, bersatu dan berwibawa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page