top of page

Wilson sokong cadangan biasiswa pengajian teologi untuk pemimpin gereja

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

TENOM: Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO Tenom, Wilson Chieu menyambut baik cadangan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick agar Kerajaan Sabah memperkenalkan biasiswa atau bantuan pengajian kepada pemimpin gereja yang mengikuti pengajian teologi.


Beliau berkata, cadangan itu merupakan langkah positif dalam memperkukuh pendidikan teologi dan meningkatkan keupayaan kepimpinan institusi keagamaan di Sabah.


“Pendidikan teologi penting dalam melahirkan pemimpin gereja yang berilmu, berintegriti serta berupaya membimbing dan berkhidmat kepada masyarakat.


“Usaha ini juga menunjukkan bahawa pembangunan sumber manusia dalam institusi keagamaan turut diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.


Wilson berkata, pemimpin gereja bukan sahaja memainkan peranan dalam aspek kerohanian, malah turut menyumbang dalam bidang kebajikan, pendidikan, pembangunan belia dan usaha memperkukuh keharmonian masyarakat.


Menurutnya, dalam konteks masyarakat Sabah yang berbilang agama dan latar belakang, institusi keagamaan mempunyai peranan penting dalam memupuk nilai kemanusiaan, perpaduan dan keharmonian.


“Justeru, usaha meningkatkan tahap pendidikan dan keupayaan pemimpin agama melalui pengajian teologi wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk masyarakat,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya direalisasikan, cadangan itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada pemimpin gereja yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.


Wilson turut berharap mekanisme pelaksanaan yang sesuai dapat diwujudkan sekiranya kerajaan bersetuju memperkenalkan bantuan berkenaan.


“Bantuan atau biasiswa ini perlu mempunyai garis panduan yang jelas dan telus agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar mengikuti pengajian teologi serta memainkan peranan dalam pembangunan institusi keagamaan.


“Saya percaya pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan pemimpin agama bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi gereja, malah membawa kesan positif kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.


Beliau berharap cadangan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Sabah dan dibincangkan bersama pihak berkepentingan bagi menentukan pendekatan terbaik untuk pelaksanaannya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page