Wujudkan pondok keselamatan di Klinik Kesihatan Pekan Bingkor: Yazid
- nabalunews
- Sep 20
- 1 min read

20 September 2025
KENINGAU: Pondok keselamatan perlu diwujudkan di klinik Pekan Bingkor bagi menempatkan Pengawal Keselamatan secara tetap demi keselamatan kawasan Klinik Kesihatan Pekan Bingkor.
Ini bagi mengelakkan insiden vandalisme membabitkan papan tanda nama Klinik Kesihatan Bingkor serta Jata Negara yang dicungkil dan dipatahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini tidak berulang.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berpendapat sudah tiba masanya sebuah pondok keselamatan dibina di kawasan klinik tersebut.

Katanya, ia perlu kerana mengawasi kegiatan vandalisme yang merosakkan papan tanda dan lain-lain kemudahan di sekitar klinik yang menjadi sasaran segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Haji Yazid yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS) berkata, insiden vandalisme membabitkan papan tanda nama Klinik Kesihatan Bingkor serta Jata Negara yang dicungkil dan dipatahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan premis kerajaan yang menjadi pusat perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.
“Perbuatan ini bukan sahaja satu jenayah vandalisme, malah mencemar imej masyarakat setempat serta menghina lambang negara" tegasnya.
Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bertindak segera memastikan keselamatan premis ini dengan membekalkan pengawal keselamatan serta memasang CCTV.
Katanya, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pelaku vandalisme ini agar ia tidak berulang.
Pada masa yang sama masyarakat juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dengan melaporkan segera sebarang kegiatan mencurigakan bagi membendung perbuatan tidak bermoral seperti inih" tegasnya lagi.


















Comments