top of page

Xaverie Terima Anugerah Naib Canselor Sempena Majlis Tamat Asasi UMS

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

28 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Keazaman dan pengorbanan seorang ayah tunggal menjadi sumber kekuatan kepada pelajar cemerlang, Xaverie Faye Pansiol, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor sempena Majlis Tamat Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2024/2025 baru-baru ini.


Pelajar berusia 19 tahun itu merupakan graduan Program Asasi Sains dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di UMS.


Anak bongsu daripada tiga beradik ini memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Gaya sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kota Kinabalu High School.


Sejak di bangku sekolah, beliau aktif dalam bidang kepimpinan dan kokurikulum, sehingga beliau dilantik sebagai Presiden Kelab Interact 2023 serta mewakili sekolah dalam Kejohanan Bola Tampar MSSD 2022 dan 2023.


Menurut Xaverie, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan datang dengan mudah, sebaliknya hasil daripada ketekunan dan disiplin yang tinggi sepanjang pengajian di peringkat asasi.


“Saya tidak menyangka akan menerima Anugerah Naib Canselor kerana saya anggap diri saya pelajar biasa sahaja.


Namun, saya sangat bersyukur atas pengiktirafan ini,” ujar Xaverie ketika ditemui pada majlis tamat asasi.


Menurutnya konsisten dalam pembelajaran menjadi cabaran utama sepanjang pengajian di peringkat asasi.


“Saya perlu sentiasa mendorong diri sendiri walaupun berdepan pelbagai cabaran di kolej.


Apa yang membuatkan saya terus kuat ialah keinginan untuk membanggakan ayah saya,” katanya.


Xaverie turut menjadikan ayahnya sebagai sumber inspirasi utama, setelah melihat pengorbanan dan kerja keras seorang ayah untuk membesarkan beliau serta adik-beradiknya seorang diri.


“Saya belajar bersungguh-sungguh kerana ingin membalas jasa ayah dan membuatnya bangga.


Saya rasa, walaupun belum sepenuhnya, saya telah berjaya melakukannya,” tambahnya.


Berkongsi mengenai masa depan, Xaverie menzahirkan hasrat untuk menjadi doktor pakar neurologi, bidang yang mula menarik minatnya sejak di sekolah menengah.


“Saya mula tertarik dengan sistem saraf semasa belajar topik ‘nervous system’. Dari situ saya tahu, inilah bidang yang saya mahu ceburi,” ujarnya.


Kejayaan Xaverie bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, tetapi juga menggambarkan semangat juang dan nilai kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya yang menjadi tunggak kehidupan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page