top of page
nabalunews

YBR bantu bekas wartawan hadapi masalah kesihatan



7 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil membantu tiga bekas wartawan di Sabah yang kini berdepan dengan masalah kesihatan.


Mereka ialah bekas Ketua Bahagian Editorial Sabah dan Sarawak New Straits Times (NST), Joseph Bingkasan; bekas Ketua Editor Bahasa Melayu The New Sabah Times, Mohd Amin Muin dan wartawan Daily Express, Barnard Yaang.


Bantuan disampaikan Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang pada majlis makan malam bersama media Sabah, di sini, malam tadi.


Dalam ucapannya, Philip berkata inisiatif YBR itu adalah antara aktiviti tahunannya dalam membantu individu yang memerlukan, sambil mengekalkan jalinan erat dengan pihak media.


“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama yang jitu daripada pihak media dalam menyiarkan segala usaha yang dijalankan oleh YBR.


“Kami akan sentiasa komited dan mempelbagaikan strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya.


Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Mugutan Vanar.


Sementara itu, Philip mengakui media sebagai platform yang amat penting pada masa kini dalam menyampai dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik, media cetak dan media sosial.


“Oleh itu, saya sebagai Pengerusi YBR amat mengalu-alukan hubungan akrab di antara rakan-rakan media di Sabah dengan YBR untuk sama-sama kita membina platform informasi yang berkualiti, khususnya menaikkan imej Sabah di seluruh negara.


“Harapan saya agar hubungan kerjasama rakan-rakan media dan YBR di Sabah ini dapat memberikan impak yang baik dan seterusnya dapat membantu lebih ramai rakyat di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, hasil kerjasama yang jitu dengan media, YBR berjaya menerima pelbagai anugerah, antaranya sekali lagi dinobatkan sebagai Yayasan Terbaik 2024 bagi kategori perbankan oleh CSR Award Malaysia setelah menerimanya tiga tahun berturut-turut.


Katanya, YBR juga disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh bagi setiap penilaian ketelusan yang dijalankan terhadap lebih 1600 yayasan di seluruh negara.

Комментарии


bottom of page