Zara Qairina Dituduh Curi Wang Sehari Sebelum Kejadian
- nabalunews
- Sep 12
- 1 min read

12 September 2025
KOTA KINABALU: Mahkamah koroner hari ini dimaklumkan bahawa Zara Qairina Mahathir dituduh mencuri wang sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama, 16 Julai lalu.
Saksi keenam yang juga pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata, pada kira-kira jam 8 malam, 15 Julai lalu, seorang pelajar perempuan mengadu kehilangan wang tunai RM300 bersama kad banknya.
Katanya, pelajar terbabit mendakwa Zara Qairina mencuri wang berkenaan dan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pelajar tingkatan empat lain yang berperanan sebagai penjaga dorm.
“Selepas itu, pelajar tingkatan empat ada memanggil Zara untuk berjumpa, namun saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu, berkemungkinan dia dibawa untuk menghadiri perjumpaan ‘MA’,” katanya ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya, kejadian turut sampai ke pengetahuan warden yang kemudiannya memanggil ketua dorm untuk memastikan apa yang berlaku namun tiada sebarang tindakan susulan dibuat.
Sementara itu, Linah memberitahu mahkamah bahawa ‘MA’ yang disebut dalam keterangannya adalah istilah bagi perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama.
Katanya, MA difahamkan bertujuan memberi teguran atau nasihat namun diharamkan sejak 2017 kerana sering disalahgunakan untuk menekan junior.
“Amalan ‘MA’ hanya dijalankan secara senyap oleh pelajar senior tanpa pengetahuan guru atau warden, biasanya ia berlaku apabila timbul isu disiplin seperti tidak menghormati senior atau tuduhan melakukan kesalahan.
“Sepanjang berada di asrama ini, saya hanya mengetahui tiga sesi ‘MA’ pernah berlaku, termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sepatutnya sebarang masalah dilaporkan kepada guru, tetapi dalam kes ini, pelajar senior bertindak sendiri memanggil junior mereka. Itu sebabnya ‘MA’ dilarang,” katanya.


















Comments