Pastikan bekalan ubat di hospital mencukupi: Christina Liew
- Wartawan Nabalu News
- Jan 20, 2022
- 1 min read

20 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew menggesa Kementerian Kesihatan supaya memastikan semua hospital di Sabah mempunyai bekalan ubat yang mencukupi sepanjang tahun.
Bekas Timbalan Ketua Menteri itu bimbang apabila mengetahui terdapat ubat-ubatan tertentu tidak mencukupi seperti yang didakwa oleh pesakit.
"Agak membimbangkan apabila mengetahui ubat-ubatan tertentu ‘tidak cukup stok’ seperti yang diberitahu kepada pesakit apabila mereka yang berkenaan termasuk penghidap penyakit jantung, pergi mengambil ubat di farmasi kerajaan sejak awal tahun.
“Berdasarkan maklum balas, pihak farmasi kerajaan memberitahu pesakit berkenaan bahawa ubat mereka adalah untuk tempoh dua minggu sahaja, bukannya bekalan sebulan seperti biasa, jadi mereka terpaksa datang semula selepas dua minggu untuk mengambil bekalan ubat seterusnya kerana ubat-ubatan berkenaan tidak cukup stok,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Liew berkata, keadaan seperti itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya timbul melainkan sesuatu yang tidak kena di mana dalam rantaian bekalan. Ia menyebabkan banyak kesulitan terutamanya kepada warga emas.
“Kita tidak memulakan tahun 2022 di landasan yang betul jika kita mendapat laporan seperti 'ubat tidak cukup stok' kerana kita menyambut Tahun Baharu dengan harapan baru.
“Kerajaan hari ini harus mengutamakan penjagaan kesihatan dengan memastikan tiada kekurangan ubat-ubatan di hospital awam, selain usaha memerangi pandemik Covid-19, masalah banjir dan memerangi rasuah,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan telah memperuntukkan RM32.4 bilion kepada KKM untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan dalam bajet 2022.















Comments