UPKO Kudat Tegaskan Perpaduan GRS Demi Kestabilan Sabah
- nabalunews
- 22 minutes ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
PITAS, 27 Julai – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat mengulangi komitmennya untuk memberikan sokongan padu kepada mana-mana calon yang diputuskan secara rasmi oleh kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sebagai tanda kesetiaan terhadap kerjasama dalam komponen GRS demi kestabilan politik dan kelangsungan agenda pembangunan negeri.
Komitmen itu disampaikan dalam satu kunjungan hormat yang dipimpin oleh Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Seri Ruddy Awah, di kediaman peribadi beliau di Pitas pada 25 Julai lalu.
Pertemuan selama lebih dua jam itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim, memantapkan strategi kerjasama antara parti-parti komponen GRS, serta memperkasa jentera di peringkat akar umbi bagi memastikan aspirasi rakyat, terutamanya di kawasan Parlimen Kudat, terus diperjuangkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan secara terbuka mengenai perkembangan politik semasa di peringkat negeri dan kebangsaan, serta menekankan kepentingan perpaduan dalam memastikan kepimpinan yang stabil, progresif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Ruddy menyatakan penghargaan terhadap kunjungan tersebut serta mengalu-alukan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan UPKO Bahagian Kudat.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara parti-parti komponen GRS adalah kunci kepada kejayaan agenda pembangunan di Sabah.
Sementara itu, Junsim dalam ucapannya menegaskan bahawa UPKO Bahagian Kudat akan terus berdiri teguh di bawah semangat perpaduan GRS serta memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak bagi merealisasikan aspirasi "Sabah First" dan visi "Kudat Maju".
"Kami komited untuk menyatukan seluruh kepimpinan, ahli dan jentera parti agar terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan GRS. Apa sahaja keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan GRS berhubung calon di Parlimen Kudat, kami akan patuh dan sokong sepenuhnya demi kemenangan GRS dan kestabilan politik negeri," kata beliau.
UPKO Bahagian Kudat turut menegaskan bahawa perjuangan hak-hak Sabah, pembangunan inklusif serta kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap usaha kerjasama yang dilaksanakan bersama GRS.
Pertemuan itu dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan komponen GRS, khususnya menjelang PRU akan datang, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri Sabah terus terjamin.















Comments