1,000 Graduan Kolej Vokasional Bakal Diraikan
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

14 April 2026
KOTA KINABALU: Seramai 1,000 graduan diploma daripada sembilan Kolej Vokasional (KV) di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal diraikan dengan penuh gilang-gemilang pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Kali Ke-10.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 16 April depan itu akan diadakan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan bakal dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional Zon Sabah dan WP Labuan, Ahmad Fakhrurazi Hamzah berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada kecemerlangan para graduan kemahiran di bawah kendalian Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan.
Katanya, majlis ini juga adalah platform utama bagi meraikan kejayaan para pelajar yang bertungkus-lumus menamatkan pengajian peringkat diploma merentasi pelbagai bidang kemahiran seperti Pertanian, Hospitaliti, Kulinari, ICT selain Mekanikal dan Pembuatan.
“Di samping itu, pengiktirafan juga diberikan kepada graduan cemerlang menerusi Anugerah Pelajar Terbaik Program (APTP).
"Konvokesyen kali ke-10 ini bukan sekadar upacara simbolik malah merupakan bukti keberkesanan sistempendidikan vokasional dalam melahirkan modal insanyang kompeten dan sedia memasuki industri sebagaipekerja mahir," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, beliau berharap agar penganjuran majlis ini dapat membakar semangat para graduan untuk terus menceburi pasaran kerja atau melanjutkan pengajian keperingkat ijazah sarjana muda.
Katanya, para graduan tidak hanya menjadi pencari kerja, tetapi juga pencipta peluang pekerjaan melalui kemahiran teknikal dan elemen keusahawanan yang telah diterapkan sepanjang pengajian.
“Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 dijangka menjadi penanda aras baharu dalam memacu kecemerlangan TVET di zon ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia,” katanya.















Comments