top of page

1,300 bakul makanan fasa 2 untuk mangsa banjir Melalap

  • nabalunews
  • 1 minute ago
  • 1 min read

1 March 2026


TENOM: Gerak kerja penghantaran bantuan bakul makanan dan minuman Fasa 2 bagi mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan bermula esok.


Ia melibatkan penghantaran terus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di setiap kampung yang terjejas.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan itu akan diselaraskan oleh Pusat Khidmat Rakyat ADUN Melalap bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Melalap.


Katanya, bantuan Fasa 1 sebelum ini disampaikan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada hari pertama dan kedua ketika banjir besar melanda daerah Tenom.


“Bagi Fasa 2 ini, penghantaran akan dibuat terus kepada Ketua Isi Rumah di kampung-kampung terjejas bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.


Jamawi memaklumkan sebanyak 1,300 bakul makanan disediakan oleh petugas serta sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat yang bertungkus-lumus sejak hari pertama banjir melanda kawasan berkenaan.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan tersebut.


“Terima kasih kepada semua penyumbang, petugas, Tenom Four Wheel Drive Club dan sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa banjir. Saya amat menghargainya,” katanya.


Jamawi turut menyatakan rasa simpati beliau terhadap semua mangsa yang terjejas akibat bencana itu.


“Kepada semua mangsa banjir, saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku. Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan bebanan kalian sekeluarga,” ujarnya.


Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan penduduk terjejas terus diberi perhatian sehingga keadaan kembali pulih.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page