top of page

Mayat Terapung Sungai Kampung Kalansanan, Tiada Unsur Jenayah

  • nabalunews
  • 41 minutes ago
  • 1 min read

1 March 2026


KOTA KINABALU: Polis mengesahkan mayat yang ditemui terapung di sungai Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, tidak menunjukkan sebarang kaitan unsur jenayah.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mangsa berusia 34 tahun pada jam 10.27 pagi.


Katanya, maklumat diterima daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang memaklumkan menemui mayat dalam keadaan terapung di tepi sungai berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher.


“Sejurus menerima maklumat, pasukan polis yang berada berhampiran terus digerakkan ke lokasi kejadian.


“Siasatan awal mendapati mayat lelaki berkenaan berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di lokasi.


“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati.


“Identiti si mati dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya.


Kasim berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.


“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis serta diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page