106 pelajar B40 dari SMK Limbanak, SMK Bahang terima bantuan SBK Yayasan Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

106 pelajar B40 dari SMK Limbanak, SMK Bahang terima bantuan SBK Yayasan Sabah

24 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seramai 106 pelajar golongan B40 dari SMK Limbanak dan SMK Bahang menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Khas (SBK) Kumpulan Yayasan Sabah tahun 2023.


Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Carl Moosom, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, di Dewan SMK Limbanak, di sini, hari ini


Antara objektif SBK adalah untuk membantu mengurangkan bebanan keluarga pelajar dari golongan B40 serta ibubapa yang tersenarai dalam e-kasih.


Sumbangan itu berupa set buku rujukan SPM dan kalkulator saintifik.


Ewon berkata, masalah kewangan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak, kerana hanya pendidikan boleh mengubah cara hidup yang lebih baik.


“Kerajaan menyedari terdapat sebilangan ibubapa kurang berkemampuan menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah, ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup.


“Oleh itu saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kepada ibu bapa dan memberi manfaat kepada para pelajar,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Penyampaian SBK Kumpulan Yayasan Sabah, di SMK Limbanak. Teks ucapannya disampaikan oleh Carl.


Ewon turut menyeru para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan adalah ‘tiket’ penting yang mampu mengubah kehidupan seseorang.


“Hanya dengan pendidikan dan pembelajaran berterusan di setiap peringkat sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi dapat membuka peluang pekerjaan yang cerah dan seterusnya menjamin kehidupan yang lebih baik,” katanya.


Turut hadir Ketua Pentadbir Zon, Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan Linda Anthony, Pengetua SMK Limbanak Jackson Sigo @ Siga, pengetua-pengetua sekolah dan warga sekolah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page