Kepelbagaian asas kekuatan rakyat Sabah hadapi modenisasi — Joachim
- nabalunews
- May 2
- 2 min read

2 Mei 2026
PAPAR: Kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan di Sabah merupakan asas kekuatan sebenar rakyat negeri ini dalam mendepani arus modenisasi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata warisan yang dibina oleh generasi terdahulu berteraskan nilai kesatuan, kerja keras dan semangat kebersamaan perlu terus dipelihara agar kekal relevan dalam pembangunan masa depan.
“Kepelbagaian yang wujud di negeri ini adalah asas kekuatan sebenar rakyat Sabah. Kita semua adalah pewaris kepada legasi nenek moyang, anak-anak tani yang membina kehidupan berteraskan nilai kesatuan, kerja keras dan semangat kebersamaan.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warisan ini terus dipelihara dan dipertahankan agar tidak luput ditelan arus zaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Masyarakat Papar, di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diiringi isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata tema tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum.
Beliau berkata penganjuran pesta tahunan itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat harmoni, malah menjadi platform mengetengahkan kekayaan budaya tempatan kepada generasi muda dan masyarakat antarabangsa.
Menurutnya, Pesta Kaamatan turut berperanan memperkukuh kedudukan daerah luar bandar sebagai pemangkin utama sektor pelancongan serta pemuliharaan warisan budaya negeri.
“Dengan keunikan adat dan tradisi yang dimiliki, Pesta Kaamatan berpotensi menarik perhatian masyarakat global sekali gus memperkenalkan identiti Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Kehadiran pelancong akan merancakkan sektor perhotelan, kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS), yang secara tidak langsung memberi limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau menambah, Kaamatan mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai antara festival budaya utama di peringkat antarabangsa menerusi usaha promosi yang lebih strategik.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan promosi melalui platform digital serta kerjasama dengan agensi pelancongan antarabangsa akan dipergiat bagi menarik minat generasi muda dan pelancong global.
Joachim turut menegaskan komitmennya sebagai Pengerusi Pelaksana Induk untuk memastikan Pesta Kaamatan terus diperkasa sebagai lambang perpaduan serta pemacu imej Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unggul.
Beliau berharap sambutan tahun ini dapat menjadi platform untuk rakyat mempererat silaturahim dan memperkukuh semangat kebersamaan demi memastikan identiti budaya Sabah terus subur.















Comments