top of page

Peningkatan keterjaminan makanan dan SSR keutamaan Kerajaan Negeri

  • nabalunews
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

2 Mei 2026


PAPAR: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) Sabah.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan bekalan makanan negeri kekal stabil, termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah.


Beliau berkata pembangunan jelapang padi turut dipergiat di beberapa kawasan strategik di seluruh negeri, termasuk Papar serta daerah berhampiran seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.


“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).


“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan terus kukuh, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat, di sini, pada Jumaat.


Dalam pada itu, Hajiji menggesa rakyat agar terus menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian Sabah, sebagai usaha memperkukuh ekonomi domestik.


Katanya, kemajuan yang dicapai tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama kukuh dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.


“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.


Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup serta sosioekonomi rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan.


Menurutnya, kerajaan juga komited memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di seluruh negeri agar manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.


Mengulas mengenai pembangunan di Papar, Hajiji berkata daerah itu kini menunjukkan perubahan ketara dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, termasuk di Benoni dan kawasan sekitar Kinarut.


“Setelah Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.


“Selain itu, kewujudan pusat kebudayaan Borneo Cultural Village serta Sekolah Adat Anak Negeri Sabah mampu memperkukuh kedudukan Papar sebagai daerah yang progresif dan berdaya saing,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini adalah tepat memandangkan daerah itu merupakan antara kawasan jelapang padi utama di Sabah.


“Papar bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian, malah sarat dengan nilai budaya dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.


Hajiji berkata keunikan itu selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, yang menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik.


Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan dan kehadiran masyarakat tanpa mengira latar belakang, yang mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara warisan budaya negeri.


“Generasi muda perlu dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai asas keharmonian dan kekuatan perpaduan, khususnya dalam dunia yang semakin moden dan mencabar,” katanya.


Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan grandstand di daerah itu, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page