107 peserta seluruh Malaysia berkumpul di Sandakan bagi menyahut Cabaran Fotografi Sandakan 2025
- nabalunews
- Jun 28
- 1 min read

28 Jun 2025
SANDAKAN : Seramai 107 peserta dari seluruh Malaysia menyertai Cabaran Fotografi Sandakan 2025 yang secara rasmi bermula hari ini anjuran Jetama Sdn Bhd dengan kerjasama strategik Sony Malaysia.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat merangkap Pengerusi Sabah Development Berhad, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
Turut hadir, Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui.
Dalam ucapan beliau, Frankie melihat program itu satu platform kreatif yang meriah dan berimpak tinggi selain mengalu-alukan kehadiran peserta dan merasai sendiri keunikan yang ada di Sandakan yang juga terkenal dengan makanan laut.
Beliau turut menekankan bahawa fotografi bukan sahaja seni visual, tetapi juga mampu mempromosi pelancongan sesuatu kawasan.
"Saya berharap peserta dapat merakam keunikan budaya, kehidupan masyarakat, dan keindahan semula jadi Sandakan." Jelasnya.
"Gunakan lensa anda untuk bawa cerita ini ke seluruh negara, dan jangan lupa nikmati makanan laut segar Sandakan," tambah beliau.
Frankie mengharapkan agar acara ini juga dapat diperluas kepada peserta antarabangsa pada masa akan datang.
“Ini bukan sahaja mempromosikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan, malah terus meletakkan nama kita di peta dunia,” tambah beliau.
Sementara itu, Fui Fui yang menyokong penuh penganjuran program itu berkata, antara lain program itu juga memberi manfaat sosial, budaya dan ekonomi kepada komuniti.
Kesemua peserta akan menyerahkan hasil gambar mereka pada hari sama di ambil antara jam 6.00 hingga 7.00 malam ini yang berlatarkan Sandakan dan sesi penjurian serta penyampaian hadiah akan berlangsung pada esok, 29 Jun 2025.
Comments