11 Jun 2025 tarikh keputusan kes bunuh
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

14 Mei 2025
TAWAU: Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang dituduh membunuh rakan sekolej pada Mac tahun lalu, dijangka bakal mengetahui nasib 11 Jun depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu untuk mendengar keputusan kes tersebut semasa prosiding semakan hujahan kedua belah pihak pendakwaan dan pembelaan, hari ini.
Pada prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi Tawau diberitahu bahawa hujahan akhir di peringkat pembelaan sudah difailkan oleh kedua belah pihak, namun, ada beberapa hujahan baru sahaja diterima pada pagi tadi.
Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon diberikan masa untuk membalas hujahan tersebut sebelum kes ke peringkat seterusnya dan diberikan tempoh sehingga 21 Mei ini untuk memfailkan hujahan balas.
Manakala, 11 Jun 2025 ditetapkan sebagai tarikh keputusan kes.
Terdahulu, semua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.
Pendakwaan kes ini diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, dengan dibantu Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala, lima lagi tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Comments