top of page

11 tuntutan MA63 selesai, 7 di bawah PMX - Fadillah

  • nabalunews
  • Sep 12, 2024
  • 3 min read

12 September 2024


KOTA KINABALU: Sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan setakat ini dengan tujuh daripadanya selesai dalam tempoh dua tahun di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen jelas Datuk Seri Anwar untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 yang dikemukakan Sabah dan Sarawak.


Katanya, di bawah PMX, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diberi pengiktirafan sebagai Jabatan Teknik yang mana projek bernilai sehingga RM50 juta dikendalikan sendiri oleh JKR kedua-dua negeri.


“Begitu juga penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, ia diputuskan di bawah kepemimpinan PMX,” katanya dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.


Katanya, perkara lain yang selesai di bawah Anwar ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 (Akta 533) bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.


Seterusnya, Fadillah berkata, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak juga diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


“Perkara lain yang diselesaikan di bawah PMX ialah garis panduan khas penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah.


“Satu lagi ialah cadangan mengenai Pindaan Perkara 95B berkaitan ubah suai bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Perundangan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Fadillah berkata, ketika di bawah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada tiga perkara berkaitan tuntutan MA63 yang sudah diselesaikan.


Perkara terbabit, katanya ialah penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) D dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.


Manakala satu-satunya perkara yang diputuskan di bawah Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah penyerahan kuasa kawal selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada kerajaan Sarawak.


"Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah di atas kesudian untuk menjadi tuan rumah mesyuarat pada hari ini. Ini merupakan mesyuarat MTPMA63 kali pertama untuk tahun 2024.


"Mesyuarat hari ini dipengerusikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta turut dihadiri YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


"Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya kepada barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak di atas komitmen yang diberikan dalam perkara ini.


"Kerajaan Madani sentiasa komited untuk memastikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) ini diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.


Fadillah berkata sebanyak empat lagi perkara dalam rundingan mesyuarat MTPMA63 masih dibincangkan.


Katanya perkara itu berkaitan sempadan laut, royalti minyak, duti setem dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.


Jelasnya, keempat-empat perkara itu akan terus dibincangkan sehingga satu penyelesaian yang boleh dipersetujui kedua-dua negeri dan Persekutuan dapat dihasilkan.


"Mesyuarat MTPMA63 ini amat penting bagi membolehkan Kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan.


"Atas komitmen itu juga, kita telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan

keahlian baharu dalam platform MTPMA63," katanya.


Fadillah berkata perkembangan rundingan mengenai perkara itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tiga bulan selepas mesyuarat hari ini.


Sementara itu, beliau berkata mesyuarat

MTPMA63 hari ini turut membincangkan mengenai 4 pembentangan yang telah disampaikan.


Ia berkaitan dengan pelaporan status terkini kemajuan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia (MA63), pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari negeri Sabah dan Sarawak, perwakilan kuasa kepada Pengarah Pendidikan negeri Sarawak untuk melantik Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan serta obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan duti setem dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj, menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah Dan Sarawak.


“Perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan yang lain iaitu Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan saya sendiri dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian atau agensi berkaitan bagi memastikan tuntutan yang masih belum selesai itu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Komentar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page