top of page

Orang ramai dijemput hadiri Program Simfoni Ramadan 15 Mac ini

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 1 min read

3 Mac 2026


KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menghadiri Program Simfoni Ramadan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 15 Mac ini.


Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung dengan pendekatan dakwah yang lebih segar dan kreatif, khususnya bagi mendekati golongan belia.


Menurutnya, penganjuran kali ini akan menampilkan penceramah dan pendakwah terkenal dari Semenanjung seperti Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Nabil Ahmad, selain barisan penceramah tempatan dari Sabah.


“Simfoni Ramadan merupakan cetusan idea awal belia USIA Sandakan yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Jazz Ramadhan’ dan telah dianjurkan selama dua tahun di daerah berkenaan.


"Melihat sambutan yang amat menggalakkan, program ini diangkat ke peringkat negeri dengan penjenamaan semula supaya lebih selari dengan aspirasi dan pendekatan semasa," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Simfoni Ramadan, di sini pada Isnin.


Menurut Sapawi, program itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis nasyid terkenal, Hafiz Hamidun, selain kumpulan nasyid dan buskers tempatan yang akan membawakan lagu-lagu berunsur dakwah.


“Pengisian lain termasuk program gotong-royong memasak serta pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai dengan kerjasama pelbagai agensi, antaranya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).


“Turut terlibat ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Lembaga Tabung Haji, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM),” ujarnya.


Tambah beliau, program itu turut menampilkan deretan food truck bagi membolehkan pengunjung mendapatkan juadah berbuka puasa sambil menantikan waktu Maghrib dan menunaikan solat Tarawih, yang akan diserikan dengan persembahan seni serta ceramah agama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page