top of page
  • Wartawan Nabalu News

114 pegawai teknikal bakal ditempatkan di setiap daerah Sabah


15 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Sabah bakal menerima 114 pegawai teknikal dengan tiga orang bagi setiap daerah dalam masa terdekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali berkata ia merupakan susulan devolution of authority atau penurunan kuasa bagi jabatan teknikal di bawah Arahan 182 yang diluluskan oleh Perdana Menteri kepada Sabah dan Sarawak.


"Kerajaan persekutuan sedang giat untuk memastikan kita dapat membanguan ekonomi kita dan memberi fokus kepada pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan segera.


"Ini kerana langkah itu dapat merancakkan ekonomi negara bukan hanya di peringkat persekutuan tetapi hingga ke akar umbi termasuk ke peringkat daerah.


"Justeru, kita bersyukur kerana Perdana Menteri telah meluluskan permintaan Sabah dan Sarawak dengan memberikan devolution of authority atau penurunan kuasa bagi jabatan teknikal di bawah Arahan 182.


"Jabatan teknikal terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPPS) kini boleh melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RM 50 juta," jelas beliau.


Armizan yang juga Ahli Parlimen mendedahkan, tambahan kapasiti pegawai teknikal itu diharap dapat membantu pejabat-pejabat daerah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan kecil dengan segera.


"Kerajaan memberi empowerment kepada

pejabat-pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana projek-projek kerajaan persekutuan melalui ICU, KKDW dan sebagainya kementerian ekonomi juga boleh dilaksanakan terus oleh Pejabat Daerah.


"Masalah yang dihadapi ialah kekangan kapasiti, kemampuan pejabat-pejabat daerah yang mempunyai pegawai teknikal dalam jumlah yang kurang...ada dua ada sorang.


"Dengan pelantikan pegawai teknikal itu, projek-projek pembangunan persekutuan yang sebelum ini dilaksanakan oleh agensi persekutuan kini boleh dilaksanakan oleh JKR dan JPPS," ujarnya kepada media selepas merasmikan Program Bicara Merdeka Sempena Hari Kebangsaan di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah, pada Isnin.


Pada majlis itu, Armizan berinteraksi selama sejam dengan para pelajar bagi melonjakkan paradigma generasi muda dalam usaha memaknai kemerdekaan.


"Kita tidak mahu anak-anak muda tidak dapat menghayati jerih, pengorbanan serta perjuangan para pelopor bangsa yang telah berjuang mendapatkan kemerdekaan.


"Kita juga berhasrat untuk membawa anak-anak ini untuk melonjakkan paradigma mereka melihat kemerdekaan bukan sahaja untuk mendapatkan dan mengisinya, tetapi membawa mereka bersama-sama memaknai kemerdekaan itu supaya nilai yang lebih besar dalam kebersamaan kita dalam kerangka ekonomi Madani.


Menjawab isu jalan masuk ke sekolah itu yang rosak teruk akibat pembinaan rumah persendirian dan tular baru-baru ini, Armizan memberitahu pihaknya akan menyemak status jalan tersebut sebelum mengemukakan peruntukan daripada agensi yang terlibat.


Selain itu, beliau turut mengumumkan pemasangan lampu solar di sepanjang jalan masuk untuk kemudahan penduduk serta warga sekolah berkenaan akan bermula tidak lama lagi.

Comments


bottom of page