top of page
nabalunews

130 tindakan kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM2,743,559.24 direkodkan oleh KPDN Cawangan Sandakan sejak 1 Jan hingga 15 Ogos 2024

15 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Sejak 1 Januari sehingga 15 Ogos tahun ini, sebanyak 4,223 premis perniagaan telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan.


Pengarah KPDN Negeri Sabah, Georgie Abas, berkata, ia membabitkan 2,141 pemeriksaan di bandar dan 2,082 pemeriksaan di luar bandar daerah ini.  


Katanya, sepanjang tempoh berkenaan juga sebanyak 130 kes telah dicatatkan KPDN Cawangan Sandakan dengan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM2,743,559.24. 


Manakala dari segi tindakan kompaun, sebanyak 66 kes telah dikompaun dengan

nilai kompaun keseluruha sebanyak RM39,300 berikutan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN. 


"Sejak awal tahun 2024 sehingga kini, dua kes juga telah didakwa di mahkamah dan kedua-dua kes berkenaan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didenda berjumlah RM24,000," katanya.


Georgie berkata demikian menerusi satu kenyataan sejurus beliau membuat lawatan ke salah sebuah pasar raya besar disini dan Pasar Besar Batu 8, Bandar Sibuga Jaya di Sandakan, hari ini.


Lawatan itu bagi meninjau serta memeriksa bekalan barang-barang kawalan dan keperluan asas agar sentiasa mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga berpatutan.


Semasa pemeriksaan itu, satu tindakan kes di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972 telah diambil terhadap seorang peniaga kerana didapati menggunakan satu unit alat timbang neraca spring yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.


Sementara itu, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Ogos lalu, sebanyak 103 aduan telah diterima KPDN cawangan Sandakan. 


Daripada 103 aduan tersebut, 90 aduan (87.37%) telah disiasat dan diselesaikan manakala 13 aduan lagi sedang dalam siasatan, jelasnya.


Katanya, peniaga juga telah dinasihatkan supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi undang-undang khususnya yang dikuatkuasakan oleh KPDN.


"Para pengguna turut dinasihatkan agar mempunyai kesedaran tentang hak-hak sebagai pengguna serta berperanan sebagai mata dan telinga dalam membantu KPDN mengawalselia aktiviti perniagaan dalam negeri," katanya.


Tambahnya, para pengguna juga disarankan untuk menggunakan aplikasi Price Catcher yang dapat membantu dalam membuat perbandingan harga barangan di pasaran sebelum berbelanja. 


Aplikasi Price Catcher boleh dimuat turun melalui play store untuk pengguna android dan app store untuk pengguna IOS. 


Dalam pada itu, Georgie berkata, KPDN cawangan Sandakan juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota-anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika.


Seramai 19 orang Pegawai Penguatkuasa dan 8 orang Pegawai Pemantau Harga di cawangan ini terbabit secara khusus bagi melakukan pemeriksaan harian khasnya di lokasi tumpuan pengguna berbelanja yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar di daerah Sandakan.


KPDN Negeri Sabah jelasnya sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan di KPDN seperti Whatsapp 019 279 4317 / 019 848 8000, Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1 800 886 800, Emel: e aduan@kpdn.gov.my atau melalui Aplikasi Ez ADU KPDN.


Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement 

Command Centre) di talian 03 8882 6088 / 6245 atau menerusi Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan. 

Comments


bottom of page