top of page

14 JKKK dan persatuan di DUN Kadamaian terima RM1.32 juta peruntukan SejaTi MADANI

  • nabalunews
  • Sep 2
  • 2 min read

ree

2 September 2025


KOTA BELUD: Sebanyak 14 badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM1,329,000 di bawah inisiatif SejaTi MADANI bagi melaksanakan pelbagai projek ekonomi desa.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui pemberian dana sehingga RM100,000.


Bagi kawasan Kadamaian, sebanyak 14 badan JKKK dan persatuan mendapat peruntukan di antara RM49,000 hingga RM100,000 bagi melaksanakan projek ekonomi desa seperti pemprosesan baja ternakan, pembuatan kerepek, ternakan ayam pedaging dan ikan air tawar, penanaman cili secara fertigasi, penghasilan kraftangan, jahitan baju, agro-farm dan perkhidmatan urutan tradisional.

ree

Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg Purak Ogis, Kg Melangkap Noriou, Kg Podos, Kg Taginambur Jaya, Kg Tintapon, Kg Pangi, Kg Gensurai, Kg Kiau Nuluh, Kg Gandukut, Kg Mangkulat dan Kg Penampatan Wariu.


Tiga persatuan iaitu Persatuan Pembangunan Identiti Dusun Tindal Kota Belud, Persatuan Penduduk Kampung Piasau Kota Belud dan Persatuan Penduduk Kampung Gensurai juga terpilih menerima peruntukan SejaTi MADANI tersebut.


“Saya meluangkan masa sehari suntuk hari ini mengunjungi perusahaan-perusahaan ekonomi desa di tujuh buah kampung hari ini bersama dengan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Pejabat Daerah Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ekonomi desa ini.

ree

“Saya berbangga dengan inisiatif komuniti yang terus membangunkan ekonomi desa bersama-sama dan saya berharap ianya menjadi contoh kepada kampung-kampung yang lain.


“Saya juga gembira kerana Pengerusi-Pengerusi JKKK terus mengemukakan permohonan mereka selepas kita mengadakan taklimat pelaksanaan projek SejaTi MADANI pada awal tahun ini yang kini sedang dilaksanakan bagi kampung-kampung dan persatuan-persatuan yang telahpun menerima peruntukannya.


“Saya akan terus komited untuk membantu pembangunan ekonomi desa di Kadamaian, kemudahan infrastruktur serta penyukatan tanah yang menjadi pembolehubah atau game changer kepada aktiviti ekonomi desa di Kadamaian,” katanya.


Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian selepas meninjau pelaksanaan projek SejaTi MADANI di enam buah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian, di sini, hari ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page