14 pusat pemindahan kekal mangsa banjir dibina di setiap negeri
nabalunews

30 November 2024
KUALA BERANG : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sudah memulakan pembinaan 14 pusat pemindahan kekal (PPK) untuk mangsa banjir di setiap negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat dan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga mendapat permohonan daripada pemimpin tempatan di Hulu Terengganu yang memohon pembinaan pusat pemindahan kekal dan ia akan dipertimbangkan untuk fasa kedua.
Pada 8 November lalu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus dilaporkan berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi untuk pembinaan PPK berkenaan antaranya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Johor dan Perak.
Katanya, projek pembinaan PPK di Sabah dan Sarawak dikendalikan oleh kerajaan negeri masing-masing manakala negeri lain oleh Jabatan Kerja Raya dan dijangka mengambil masa sehingga 15 bulan untuk dibina.
Khairul Shahril berkata, kos pembinaan PPK berkenaan dianggarkan menelan belanja sehingga RM5 juta sebuah.
"PPK ini yang lengkap dengan kemudahan asas akan dibina berhampiran seko lah bagi membolehkan pelajar sekolah menggunakan kemudahan ini semasa luar musim banjir.
"Pembinaan PPK ini ialah rancangan bagi fasa pertama agar tiada lagi sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir," katanya.
Sementara itu ketika ditanya sama ada Kerajaan Pusat akan melancarkan Dana Kecemasan berikutan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di seluruh negara setakat ini melebihi 137,000, Ahmad Zahid berkata, amat mustahil kerajaan menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas.
Katanya, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan bekerjasama mengusahakan perkara itu bagi mengadakan dana kecemasan membantu mangsa banjir yang terjejas.
"Kita juga meminta kerajaan negeri mengusahakan bantuan serta dana kecemasan itu dan tentunya kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri sangat baik setakat ini harus ditingkatkan.
"Kita mesti cari jalan dengan menyantuni serta meringankan keluarga-keluarga yang terjejas, namun mustahil mana-mana kerajaan sama ada pusat dan negeri untuk bagi pampasan kepada semua mangsa banjir secara keseluruhannya kerana ini adalah takdir dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," katanya.
Setakat 8 malam pada Jumaat, jumlah mangsa banjir di seluruh negara yang
berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 106,505 orang.
Comments