149 PATI Filipina dihantar pulang
- nabalunews
- Feb 27
- 2 min read

26 Februari 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantar pulang seramai 149 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina ke negara asal, kelmarin.
Semua PATI tahanan Depot Imigresen Sandakan berkenaan dihantar melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu, menggunakan perkhidmatan feri MV Ming Hai ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang tahanan Pati membabitkan golongan dewasa dan kanak-kanak yang berusia 16 sehingga 65 tahun.

Katanya, penghantaran pulang tahanan itu adalah atas pembiayaan sendiri termasuk tiket feri serta caj kemudahan pengangkutan bas dari Depot di Sandakan ke ICQS Lahad Datu.
"Semua Pati yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Mereka turut ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, sehingga ke hari ini, jumlah keseluruhan Pati yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 1,008 orang dan 55 peratus adalah warga Filipina.
"Semua Pati telah selesai menjalani hukuman penjara dan mempunyai Travel Dokument yang dikeluarkan melalui Program Verifikasi oleh pihak Kedutaan Republik Filipina yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
"Pemindahan warga Filipina ini adalah melalui pintu masuk laut Sabah menggunakan pengangkutan laut MV Ming Hai yang menghubungkan perjalanan secara terus ke destinasi asal iaitu Bongao, Filipina," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menasihatkan supaya ahli keluarga atau saudara mara kepada tahanan asing di depot-depot imigresen di negeri ini yang berkelayakan untuk menyertai program pembiayaan sendiri ini untuk tampil ke hadapan dan memberi sokongan bagi mengelak tempoh penahanan yang panjang.
Katanya, pembelian tiket kemudahan feri secara terus daripada pihak perkhidmatan kapal/feri amatlah digalakkan bagi melancarkan urusan pemindahan tahanan Pati balik ke negara asal.
Comentarios